Header Ads

Header ADS

Coretan Hati Penyokong Setia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)


Semoga ahli PBB berada dalam keadan sihat. Tahniah atas kemenangan 13 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan, namun usahlah bergembira dengan kemenangan yang besar Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam pilihan raya lepas kerana rakan kita di Semenanjung kalah menyebabkan kita menjadi pembangkang di peringkat persekutuan.

Mengimbau kembali tahun perubahan rakyat untuk menjatuhkan Barisan Nasional mulai rancak pada tahun 2008, apabila MCA dan Gerakan kalah banyak kerusi dalam pilihan raya.

Pilihan raya seterusnya pada 2013, menyaksikan MIC dan parti tempatan Sabah mulai goyah. Namun PBB masih utuh dan kuat. Sehingalah pada tahun 2018, Tsunami Cina pada tahun 2008, berubah menjadi tsunami rakyat pada tahun 2018 apabila Umno selaku parti teras BN dikalahkan setelah 61 tahun memerintah. PBB buat pertama kalinya goyah apabila kalah 1 kerusi di Puncak Borneo.

Jika mengambil kira teori domino yang melanda parti komponen BN, sudah tentulah kesan domino seterusnya akan melanda parti keramat kita iaitu PBB. BN Sarawak sudah tidak punyai jentera Kerajaan Persekutuan, media arus perdana, pengisytiharan projek mega bagi mengambil hati rakyat kerana kita dah jadi negeri pembangkang dan parti pembangkang. Sudah tentu, kesan domino akan melanda PBB.


Reformasi Menyeluruh

Justeru saya menyeru agar PBB segera melakukan reformasi dalaman dan luaran secara total. Takut-takut kita juga dilambung ombak tsunami yang sedang melanda negara. Rebahan kepingan domino parti komponen BN lain sudah tentu boleh menyebabkan PBB sekali rebah sekiranya tiada pelan perubahan diambil.


1 – Tangkap Koruptor dalam PBB

Saya yakin dan percaya bahawa kepimpinan YAB Abang Johari adalah cukup bersih daripada skandal dan penyelewengan sehingga Portal Sarawak Report yang terkenal dengan pendedahan skandal dan penyelewengan pun tidak kelihatan nama Abang Jo.
Abang Jo merupakan seorang pemimpin yang dikatakan “clean” dan berprinsip dalam PBB. Buktinya Abang Jo sanggup kekal dalam BN walaupun terpaksa menjadi negeri pembangkang.

Cuma individu yang korup cuba melobi untuk sertai parti lain sebab ingin mencuci dosa mereka. Inilah masanya untuk Abang Jo membersihkan PBB daripada koruptor agar parti terus jadi pilihan dan kekal relevan pada pilihan raya akan datang.


2 – Pertandingkan Semua Jawatan Dalam Parti

Umum mengetahui bahawa jawatan tertinggi dalam PBB tidak dipertandingkan kesemuanya. Pertandingan hanyalah melibatkan jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sahaja tanpa mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Terdapat pula kuota Naib Presiden yang cukup istimewa yang dikenali Naib Presiden Khas dan tidak dipertandingkan.

Sebagai sebuah parti yang demokratik, PBB tidak perlu meletakkan kerusi selamat bagi individu tertentu. Perlu telus dalam pemilihan individu yang bakal menerajui parti. Saya yakin dan percaya sekiranya kerusi Presiden PBB dipertandingkan, Abang Jo kekal lagi sebagai presiden kerana beliau layak.


3 – Calon Muda dan Muka Baru Dalam Pilihan Raya

Parti PBB adalah merupakan parti yang sering mengemukakan calon veteran dalam pilihan raya berbanding parti lawan yang sentiasa mengetengahkan muka baru dan bertenaga. Lebih penting lagi, calon muda.

PBB tidaklah ketandusan calon sehinggakan kekal berterusan meletakkan calon tua dan veteran. Sekiranya veteran dan “perform”, barangkali tiada persoalan.

Namun calon tidak bermaya dan kitar semula ini menyebabkan ahli muak. Apakah ahli lain tidak punyai wibawa dan ketrampilan menjadi calon? Walhal dalam PBB ada ramai ahli baru professional dan berktrampilan. Ada peguam muda, doktor, dan jurutera muda. Bangunkan mereka dan ambil jadi calon.


4 – Pemilihan Calon Pilihan Raya Perlu Telus

Acap kali pilihan raya, calon yang dipilih adalah tidak telus. Sama ada dari pengikut pemimpin tertentu, kroni seorang menteri atau pegawai kerajaan negeri. Apakah tiada calon wibawa dari akar umbi PBB untuk dipilih menjadi calon? Apa guna pilih calon muda yang tidak berkelulusan tinggi hanya disebabkan dia adalah orang kanan seorang menteri? Apakah kami dari akar umbi tiada berkelayakan?


5 – Pentadbiran Telus dan Merakyat

Saya percaya Abang Jo telus dan jujur dalam menjalankan tadbir urus kerajaan negeri. Rakyat Sarawak berharap agar kerajaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

Turunkan takrif elektrik. Sarawak punyai empangan yang cukup untuk menjana tenaga elektrik untuk seluruh Sarawak dan kawasan sekitarnya. Semestinya takrif elektrik di Sarawak adalah lebih murah berbanding negeri lain.


6 – Selesaikan Masalah Tanah Adat

Tanah adat merupakan peluru yang seringkali dimainkan oleh pihak lawan. Dahulunya mereka adalah pembangkang, kini mereka kerajaan. Dengan hanya menggunakan isu tanah adat, ia boleh menyebabkan PBB goyah sehingga pengundi Iban dan Dayak tidak menjadikan BN sebagai pilihan pada pilihan raya lepas.

Lagipun, tanah adat banyak dicabuli oleh pemimpin korup yang diangkat menjadi menteri oleh individu yang memerintah selama 33 tahun.

Tidak disangka juga, menteri bumiputera di Sarawak yang terkenal dengan kelantangan mempertahankan tanah adat kaumnya juga terpalit dengan isu tanah. Saya harap kepimpinan Abang Jo akan menangani isu ini dengan sebaiknya.

Terpulang kepada ahli dan pimpinan PBB untuk menentukan masa depan parti. Apakah parti PBB akan kekal relevan dan kekal memerintah dalam tempoh sedekad lagi? Atau ia akan mengikut jejak parti Umno di Semenanjung yang menjadi pembangkang? Percayalah, empayar Rom yang agung juga rebah dan sukar untuk pulih, bagaimana jika parti PBB rebah?

Saya berharap agar kepimpinan Abang Jo berani melaksanakan reformasi total ini. Sekiranya Abang Jo “digugurkan” dari jawatan Ketua Menteri dan parti, kami akan terus mempertahankan beliau dalam melaksanakan agenda perubahan parti.

Saya sayangkan parti, bukannya individu dalam parti. Kalau tidak dilaksanakan reformasi total, nasib UMNO bakal melanda PBB. Berani Berubah. -Free Malaysia Today

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.