'Hantu' Kak Limah Teringin Kahwin Lagi
KUALA LUMPUR - Ketika dirinya disolek cantik sebagai mempelai demi menghidupkan gimik pelancaran filem terbaharu, Delimawati Ismail atau lebih dikenali sebagai Kak Limah, mengaku teringin bernikah lagi.
Hidup sendirian sejak tujuh tahun lalu, Delimawati yang pernah dua kali berkahwin, tidak menafikan dirinya kadang kala sunyi tak berteman.
"Saya pernah berkahwin dua kali.. Seorang suami saya meninggal dunia, manakala seorang lagi berpisah.
"Saya tidak mencari, tetapi kalau ada jodoh, apa salahnya. Dalam usia begini, saya cuma mahu seorang teman untuk pergi ke surau.
"Semua artis seusia meluahkan perasaan sama. Kami mahukan teman yang boleh menjaga dan membimbing kami bagi menghabiskan sisa-sisa hidup.
"Anak-anak semua sudah berkeluarga, saya tidak mahu menyusahkan mereka untuk menguruskan saya seorang... Mereka ada kehidupan sendiri," katanya kepada BH Online.
Isnin lalu, sebagai gimik pelancaran filem Hantu Kak Limah di ibu negara, Delimawati yang sekali lagi melakonkan watak Kak Limah dalam filem arahan Mamat Khalid itu, disolek sebagai mempelai.
Masih berupaya memandu sendirian ke lokasi penggambaran dan menghadiri majlis, Delimawati bagaimanapun berharap adanya teman yang boleh diajak berbual dan mengiringinya ke sana-sini.
Mendambakan lelaki berusia lebih 50 tahun sebagai calon suami, Delimawati berharap jejaka itu beriman dan mampu membimbingnya hingga ke akhir hayat.
"Pada 1990-an, saya pernah ditimpa kemalangan kerana memandu sendirian. Jadi, timbul kerisauan kepada anak-anak. Mereka pernah menyuarakan pendapat suruh agar berkahwin. Namun, mereka tidak pernah mencarikan calon untuk saya.
"Saya bukanlah 'gatal' nak kahwin, tetapi sekadar mahukan teman berborak dan boleh menjaga kita. Sekarang saya tinggal dengan anak bongsu di Puchong. Dia akan berkahwin, tidak lama lagi.
"Selepas ini, saya akan hidup sendiri. Takut kalau suatu hari malang, saya terjatuh di rumah seorang diri, tiada siapa yang tahu," katanya.
Mengelak daripada merampas hak orang lain dengan menjadi isteri kedua, namun, Delimawati tidak menolak andai itu sudah ditakdirkan jodohnya.
Biarpun ada peminat yang menegurnya di laman sosial, bagi Delimawati, itu bukanlah jalan mudah untuk menerima sesiapa saja dalam hidupnya.
Sebaliknya, Delimawati mahukan lelaki yang ikhlas dan boleh menjaganya dengan baik.
"Kalau dapat, biarlah lelaki yang melapangkan kepala dan dada. Orang takut nak rapat sebab ingat artis ini dianggap 'high maintenance' (belanja tinggi). Sudah tua begini, tiada apa yang saya mahu melainkan teman hidup.
"Tetapi kalau yang datang itu mampu menyara dan mahukan saya berhenti berlakon, tiada masalah. Cuma, apabila jadi artis, kadang-kadang gian nak berlakon itu mesti ada... Tak salah kalau sekali-sekala beraksi," katanya.
Menyentuh mengenai popularitinya dengan filem arahan Mamat Khalid itu, Delimawati berkata, kadang-kala dia terfikir mengenai karakter yang sinonim dengannya sehingga orang lebih mengenali watak daripada diri sendiri.
"Hantu Kak Limah yang banyak mempopularkan saya. Saya mengaku, nama saya 'naik' disebabkan Mamat Khalid sejak tersiarnya telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada 1998.
"Saya selesa bekerja dengan Mamat sebab dia faham kita. Disebabkan Kak Limah, budak-budak terus panggil saya dengan panggilan itu. Pada mulanya tak selesa, tetapi apabila terhasil filem kedua dan ketiga, saya terpaksa senyum saja," katanya.
Lebih 30 tahun bergelumang dalam bidang seni, hatinya tersentuh mengenangkan nasib insan seni seusianya yang dipinggirkan. Delimawati melihat artis seusianya seolah-olah dinafikan bakat mereka.
"Saya tengok watak emak-emak sekarang banyak dimonopoli pelakon berusia 40-an. Habis yang usia seperti kami ini nak jadi apa? Takkan setakat jadi nenek dan hantu saja?
"Kebanyakan penerbit terutama drama, saya lihat terlalu terikut-ikut dengan drama Filipina yang menampilkan emak-emak muda yang cantik. Usia 60-an seperti kami sudah tidak diperlukan, sebab itu ramai artis seperti saya, tiada kerja.
"Macam saya sekarang, sudah dua bulan tiada tawaran datang. Saya tidak ada masalah untuk terima tawaran drama rantaian kerana itu sudah kerja kita sebagai pelakon," katanya.
No comments