Cardiff City Mahu Terus Promosikan 'Visit Malaysia' Biarpun Terima Banyak Tawaran Penaja
KUALA LUMPUR - Sudah lapan tahun Cardiff City mempromosikan Malaysia secara maksimum tanpa mengenakan sebarang bayaran, dan kelab Wales itu bakal kembali ke liga paling kaya dan popular di dunia, Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan dengan harapan mahu mengekalkan ‘Visit Malaysia’ di depan jersi utama mereka.
Pemilik Cardiff City yang juga hartawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan berkata, sepanjang sembilan tahun (dalam EPL dan Liga Kejuaraan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hanya memberi penajaan semusim sahaja ketika kelab itu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim 2013-2014.
Katanya, Cardiff yang terkenal dengan gelaran The Bluebirds menerima banyak tawaran daripada syarikat penerbangan antarabangsa untuk menjadi penaja utama jersi, dan sekiranya mereka menerima tawaran tersebut, ia bermakna tiada lagi perkataan ‘Visit Malaysia’ akan tertera di baju pemain.
Bagaimanapun atas rasa cinta terhadap negara, Vincent beberapa kali menolak tawaran itu, biarpun kontrak yang diterima akan membolehkan kelab meraih pendapatan lumayan.
Namun begitu, memandangkan Cardiff bakal kembali EPL, liga yang mencatat rekod pendapatan tertinggi 6.4 juta bilion pound (RM34.25 bilion) bagi musim 2016-2017 dan ditonton lebih 160 juta peminat di seluruh dunia, Vincent berharap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dapat menghulur tajaan bagi membolehkan ‘Visit Malaysia’ terus tertera bangga di jersi pasukan.
“Sepanjang sembilan tahun Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bayar untuk setahun sahaja. Sekarang kami sudah naik EPL dan walaupun sekarang Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan masih belum dibentuk namun saya berharap mereka dapat memberi sumbangan.
“Walaupun ada syarikat lain cuba untuk menaja jersi namun saya tetap dengan ‘Visit Malaysia’ kerana saya benar-benar sayangkan negara saya. Nasib menyebelahi saya apabila Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) yang merupakan salah seorang rakan perniagaan saya bersetuju untuk memberikan sumbangan.
“Sultan Johor menaja 3 juta pound (RM16 juta) untuk tiga tahun bermula 2015 dengan setiap 1 juta pound (RM5.35 juta) diberi setiap tahun ketika kami dalam saingan Liga Kejuaraan. Baginda meminta saya mengekalkan ‘Visit Malaysia’ kerana itu bagus untuk negara kita.
“Saya tahu Luis Suarez dipilih sebagai Duta Pelancongan namun apabila dia beraksi di atas padang dia tidak dapat mempromosikan Malaysia berbanding Cardiff City, kerana apabila kami bermain 4.8 bilion orang akan menonton dan saya percaya mereka akan nampak ‘Visit Malaysia’ dan itu akan memberi sumbangan (sektor pelancongan).
“Selain itu, saya juga dapat memberitahu kepada dunia bahawa kelab ini dimiliki oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di ibu negara di sini hari ini. Turut hadir pengurus Cardiff City, Neil Warnock.
Vincent yang mengambil alih Cardiff pada 2006 berjaya membawa kelab tersebut ke kancah EPL pada 2013, namun mereka kembali ke Liga Kejuaraan pada 2014. - UTUSAN ONLINE
No comments