Header Ads

Header ADS

Barisan Peguam Sarawak Bersedia Pertahankan Hak Sarawak - Sharifah Hasidah


KUCHING - Peguam-peguam Sarawak mahu berdiri bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg dan berjuang untuk Kerajaan Sarawak dalam pertempuran undang-undang terhadap Petronas pada 12 Jun nanti. 
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ramai peguam telah menawarkan diri untuk membantu kerajaan negeri dan mesyuarat khas telah diatur. 
“Pada Khamis ini, ketua menteri akan mengadakan pertemuan dengan peguam-peguam Sarawak untuk memberi penjelasan kepada mereka apa yang berlaku kerana banyak peguam menyatakan minat mereka untuk membantu kami,” katanya ketika dihubungi selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Besar Sarawak, semalam. 
Hasidah berkata pasukan perundangan Sarawak sangat bersedia dan akan berusaha mempertahankan apa yang secara perlembagaan dimiliki oleh rakyat Sarawak. 
“Kami buat yang terbaik, kami membincangkan mengenai kes itu dan kami menunggu untuk pendengaran ke atas permohonan Petronas pada 12 Jun ini, jika mahkamah menerimanya, kami teruskan. 
“Malah jika permohonan Petronas ditolak sekalipun, kami juga ingin membawa ke mahkamah, kami mahu membawanya sehingga selesai...tidak alang-alang,” katanya. 
Sementara itu, Petronas dalam kenyataan pada Isnin lepas memberitahu, mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharaan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di negara ini termasuk Sarawak. 
Syarikat minyak dan gas nasional itu berkata ia adalah pemilik eksklusif petroleum serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak. 

“Sehubungan itu mereka adalah pemilik eksklusif sumber petroleum dan mengawal selia industri huluan. 
“Petronas percaya keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan itu nanti akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya mengikut PDA,” katanya. 
Petronas turut menyatakan akan kekal komited menyokong aspirasi Sarawak menyertai industri minyak dan gas di negeri itu selagi berada dalam rangka kerja PDA. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.