Anwar Tegur Guan Eng Supaya Fokus Tarik Keyakinan Pelabur Bukannya Bongkar Penipuan
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, supaya bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan terdahulu.
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Guan Eng perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia akan digunakan sebagai rujukan oleh pelabur.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan bekas menteri kewangan, turut mencadangkan supaya tanggungjawab membongkar salah laku itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.
"Saya ada bertemu dan memberitahu Lim Guan Eng bahawa jawatan Menteri Kewangan ini statusnya lebih sensitif.
"Setiap kenyataan (Menteri Kewangan) akan merujuk terus kepada pelabur," katanya dalam rakaman wawancara program terbitan Astro Awani, 'AI' yang akan disiarkan pada Khamis ini.
Anwar ditanya mengenai laporan terbaru oleh Moody's Investors Service yang menyatakan bahawa fasa peralihan kuasa ketika ini mencetuskan ketidaktentuan dasar yang dibimbangi penganalisis akan menyebabkan penarafan negatif terhadap ekonomi negara.
Keadaan itu sekali gus dilihat boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing dalam pasaran modal Malaysia.
Anwar mengakui dalam senario semasa, menteri juga bertanggungjawab menyebut mengenai segala bentuk perjanjian dan membongkar penipuan dilakukan kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, Guan Eng harus menyerahkan tugas melakukan pendedahan itu kepada menteri lain dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan Guan Eng lebih fokus terhadap usaha mententeramkan serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Beberapa hari lalu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dilaporkan berkata ada skandal besar yang lain membabitkan Kementerian Kewangan akan didedahkan tidak lama lagi.
Agensi berita Singapura, Channel News Asia melaporkan Guan Eng berharap beliau akan dapat mendedahkan setiap skandal dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan yang baharu.
Pendedahan yang sudah didedahkan Guan Eng termasuk bayaran daripada Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional untuk memenuhi obligasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta projek saluran paip gas bernilai RM9.4 bilion yang dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. -BH Online
No comments