Header Ads

Header ADS

Tindakan Membongkar Salah Laku Kerajaan Terdahulu Atas Nasihat Tun Mahathir - Guan Eng


KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menghargai nasihat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepadanya berhubung pembongkaran salah laku kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau akan tetap mendedahkan perkara itu kepada umum sebelum menyerahkan skandal salah laku dan penyelewengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu kepada menteri lain dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata semua pendedahan skandal kewangan terutama dalam isu 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di media adalah atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sendiri sedia maklum mengenai perkara itu.
Tambahan pula, katanya, beliau bukanlah perdana menteri yang berkuasa memberi arahan kepada menteri lain.
"Tidak kena pada tempatnya untuk saya mengarahkan menteri lain mendedahkan skandal kewangan kerajaan lama yang berlaku dalam kementerian kewangan yang disandang saya.
"Kementerian saya akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh 100 hari seperti yang diarahkan perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum ini menyarankan Guan Eng agar bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar segala penipuan serta penyelewengan dilakukan kerajaan sebelum ini.
Anwar berkata Guan Eng perlu berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan kerana ia akan digunakan sebagai rujukan oleh pelabur dan mencadangkan agar tanggungjawab membongkar perbuatan itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.
Anwar berkata demikian ketika mengulas laporan agensi penarafan Moody's Investors Service yang menyifatkan pertukaran kerajaan mencetuskan ketidaktentuan dasar yang boleh menyebabkan penarafan negatif terhadap ekonomi serta menjejaskan keyakinan pelabur asing.
Beberapa pihak sebelum ini mendakwa penurunan saham di Bursa Malaysia akibat tindakan Guan Eng mendedahkan butiran hutang negara yang mencecah RM1 trilion.
Namun tindakan Guan Eng disokong oleh bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz yang berkata ketelusan dan kejujuran berhubung situasi sebenar negara akan membawa kebaikan jangka panjang.
Mengulas lanjut Guan Eng berkata, beliau sendiri beberapa kali berjumpa dengan Anwar untuk memaklumkan mengenai keadaan ekonomi serta skandal kewangan yang telah berlaku.
"Anwar juga terkejut dengan impak negatif berhubung penyelewengan kewangan kerajaan lama dalam bentuk memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah khas untuk orang tertentu (sahaja).
"Rakyat berhak tahu mengenai kedudukan sebenar ekonomi dan status kewangan negara. Ketika berjumpa dengan Anwar, beliau sendiri setuju," katanya. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.