Header Ads

Header ADS

Ahmad Zahid Hormati Apa Saja Keputusan BN Sarawak Demi Kepentingan Negeri Dan Rakyat


KUCHING - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghormati dan mengalu-alukan pendirian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti komponen BN Sarawak yang berhasrat menjalin hubungan kerjasama dengan kerajaan persekutuan.

Zahid menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya semalam berkata BN sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam hal ini.

Malah katanya, BN menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN untuk mengambil langkah yang sama demi kepentingan negeri dan rakyat.

Terdahulu dalam kenyataan yang sama, Zahid menafikan laporan bahawa PBB telah keluar daripada BN.

Malah beliau juga menegaskan tidak bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak berhubung perkara ini.

“Laporan mengenai PBB Sarawak telah meninggalkan BN adalah di luar pengetahu-an saya.

“Malah saya tidak bertemu dengan Datuk Patinggi Ketua Menteri dan merayu agar PBB tidak meninggalkan BN seperti yang dilaporkan.

“Dengan kenyataan ini diharap tidak ada pihak yang melaporkan berita secara serkap jarang dan kurang profesional,” katanya.

Dalam pada itu, The Malaysia Insight semalam melaporkan Abang Johari mengadakan perjumpaan dengan Zahid bagi menyatakan hasrat untuk keluar daripada BN.

Bagaimanapun, laporan itu dinafikan oleh beberapa pemimpin PBB dan menyifatkan berita itu sebagai tidak benar.


Berita itu turut menyebut Zahid merayu kepada Abang Johari agar tidak meneruskan hasrat PBB untuk keluar daripada BN.


“Zahid menggunakan perkataan ‘hancur’, kata seorang sumber BN, membayangkan masalah gabungan itu sekiranya kehilangan 19 kerusi Sarawak di Parlimen,” portal itu dipetik.

BN Sarawak menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak. 

PBB memenangi 13 kerusi. PBB merupakan tulang belakang BN Sarawak yang turut dianggotai parti komponen seperti SUPP, PDP dan PRS.


Mereka hilang enam kerusi berbanding PRU13 BN menang 25 kerusi.

BN memiliki 79 daripada 222 kerusi di Parlimen selepas PRU14 pada 9 Mei lepas.


Pada 31 Mei, Abang Johari mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.


Abang Johari pada 16 Mei memaklumkan hasrat PBB untuk keluar BN menerusi satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti. 

Bagaimanapun, keputusan itu akan tertakluk ke-pada rundingan bersama tiga parti komponen BN Sarawak.

Setakat ini, mesyuarat empat parti komponen itu belum diadakan.

“Tidak perlu tergopoh-gapah,” kata Abang Johari pada sidang media itu apabila disoal bila mereka akan bermesyuarat.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.