Header Ads

Header ADS

Semua Komponen BN Sarawak Bertemu 12 Jun Ini Menentukan Kedudukan BN Sarawak


KUCHING - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengadakan pertemuan pada 12 Jun ini di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). 
Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Alexander Nanta Linggi mengesahkan bahawa semua pemimpin daripada parti komponen BN Sarawak dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan. 
“Pada pagi 12 Jun nanti di ibu pejabat PBB, akan ada pertemuan antara semua komponen BN Negeri. 
“Ketua menteri memanggil semua jawatankuasa tertinggi BN Negeri serta pemimpin tertinggi parti komponen lain untuk menghadirinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam. 
Pertemuan itu dikaitkan dengan perbincangan PBB bersama parti komponen BN lain mengenai keputusan kedudukan BN Sarawak. 
Memetik portal berita The Malaysian Insight, pada PRU14, BN Sarawak bertanding di semua 31 kerusi Parlimen tetapi hanya menang 19, keputusan yang mengejutkan bagi negeri yang sekian lama dianggap deposit tetap BN. 
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Mei lepas mendedahkan bahawa BN Negeri sedang menimbang kedudukannya dalam gabungan itu selepas PRU14 dan kemungkinan membentuk gabungan baharu terdiri daripada parti-parti politik di Sarawak. 
Keputusan meninggalkan BN itu bagaimanapun hanya akan disahkan selepas PBB berunding dengan tiga lagi parti komponen BN di Sarawak iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). 
Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang pro-BN juga mungkin dimasukkan dalam gabungan baharu yang dicadangkan itu.

SUPP dilaporkan membuat keputusan keluar BN dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat pada malam 15 Mei tetapi belum diumumkan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.