Header Ads

Header ADS

UPP Ambil Pendekatan Tunggu Dan Lihat Hala Tuju


KUCHING - Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengambil pendekatan dan sikap ‘tunggu dan lihat’ berhubung pendirian serta hala taju parti ketika perkembangan politik di negeri ini masih ‘kurang stabil’. 
Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh percaya hala tuju parti masih terbentang luas dan parti lebih memilih untuk ‘tunggu dan lihat’. 
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata: 
“Semuanya ke arah tujuan utama (all roads leads to Rome) apabila ditanya tindakan seterusnya diambil UPP, sama ada kekal bersama Barisan Nasional (BN) Sarawak atau sebaliknya. 
“Bagi UPP, kita menuju ke arah tujuan utama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada pertubuhan- pertubuhan amal di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya semalam. 
Ditanya sama UPP akan meneruskan rundingan berhubung penggabungannya dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu berkata: “Jalan ke arah itu terbuka luas dan kita seharusnya tunggu dan lihat.” 
Mengenai kedudukan anaknya Datuk Andrew Wong dalam SUPP, beliau berkata anaknya itu kini bersama SUPP. Bagaimanapun beliau menegaskan hanya Andrew menjadi ahli SUPP. 
Andrew bertanding di kerusi Parlimen Sibu di bawah tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu namun tewas kepada calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Oscar Ling dengan undi majoriti 11,422. 
Wong juga enggan mengulas apabila ditanya pandangannya sama ada BN Sarawak perlu keluar daripada BN Pusat ekoran kegagalan BN mempertahankan kerajaan pada PRU14 lalu. 
“Perkara itu anda (media) perlu tanya kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg). Beliau akan membuat keputusan akhir,” katanya. 
Pada 16 Mei lalu, Abang Johari yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa parti itu dalam usaha mengkaji semua ‘kerja sama’ dengan BN dan mencari penyelesaian terbaik untuk kepentingan Sarawak. 
Bagaimanapun Abang Johari berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan keempat-empat parti komponen BN Sarawak iaitu PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). 

“Kita akan mengkaji semula dan berunding bersama parti komponen BN Negeri yang lain. Saya ada menyebut mengenai gabungan bersatu Sarawak sebagai landasan kita dan kita perlu berbincang dengan rakan-rakan dalam BN Sarawak (sebelum membuat sebarang keputusan),” katanya. -Utusan Borneo

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.