Tuduhan Chong Mengenai Pemberian Projek Mega Tanpa Tender Sebagai Tidak Berasas
KUCHING - Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi menafikan dakwaan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen bahawa dua projek mega Projek Jalan Pesisir dan Projek Jalan Utama Kedua dibuat tanpa melalui tender terbuka disifatkan sebagai tidak berasas.
Julaihi menyifatkan tuduhan Chong itu sebagai tidak berasas dan cuba untuk mengelirukan orang ramai.
"Terdapat dua fakta penting yang tidak diberikan Chong yang mendakwa Kerajaan Negeri Sarawak tidak mengadakan tender terbuka iaitu beliau tidak memberikan butir-butir rasmi projek tersebut dan mengakui kedua-dua projek itu kini masih dalam peringkat terakhir pemprosesan," katanya dalam satu kenyataan media di sini petang ini.
Sehubungan itu, jelas Julaihi lagi projek itu masih belum lagi dimuktmadkan dan ternyata Chong tidak dapat menyimpulkan harga penuh bagi kedua-dua projek itu.
Malah, beliau tidak tahu di manakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu memperoleh nilai harga projek itu seperti yang didakwa dan ia mungkin merujuk kepada rakan perundingnya atau kawan kontraktornya.
Semalam, Chong bersama dengan ADUN Padungan Wong King Wei dan pembantunya Abdul Aziz Isa telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan pelaksanaan dua projek mega yang tidak dilaksanakan mengikut tender terbuka.
"Chong telah membuat laporan kepada SPRM dan biarlah pihak berkuasa itu melakukan penyiasatan dan tindakan yang perlu.
"Kami sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan," ujarnya lagi.
Julaihi turut menegaskan sekali lagi kedua-kedua projek mega itu masih belum muktamad dan belum diberikan kepada mana-mana syarikat.
"Kedua-dua projek ini masih belum muktamad dan belum diberikan kepada mana-mana syarikat sebaliknya masih dalam beberapa peringkat," katanya.
Kedua-dua projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak untuk membangunkan kawasan luar bandar terutamanya ke arah kawasan pesisir pantai.
"Kerajaan Negeri Sarawak amat memberikan perhatian dan keutamaan kepada pembangunan masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi mereka.
"Justeru, saya berharap Chong tidak akan mempolitikkan projek ini kerana ia akan menangguhkan dan menghalang masyarakat luar bandar daripada merasai pembangunan berterusan," ujarnya.
No comments