Sambutan Gawai Bagi 182 Keluarga Bidayuh Terjejas Akibat Banjir Lumpur
BAU - Kegembiraan menyambut Perayaan Gawai esok bertukar hambar bagi 182 keluarga masyarakat Bidayuh di sini setelah terjejas dengan banjir kilat membawa lumpur hingga menenggelamkan pelbagai barangan termasuk kereta malam tadi.
Menurut salah seorang mangsa dari Kampung Bong, Suhai Minos, 60, kejadian tersebut pertama kali berlaku di sini sejak dahulu dengan air naik hingga ke paras lutut.
“Biasanya kalau air naik pun tidak tinggi namun semalam kenaikan air begitu cepat sedangkan hujan turun di sini biasa sahaja malah lokasi rumah agak tinggi.
“Habis barangan dalam rumah termasuk persediaan Gawai dan dua kenderaan keluarga tenggelam manakala sebuah rumah stor hanyut dibawa arus deras berdekatan sungai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan Bung Siradjak, Tringgus, Bau sebentar tadi.
Salah seorang mangsa, Sireh John, 70, berkata, tidak ada Gawai buat kami sekeluarga pada kali ini.
“Habis barang-barang Gawai dan bahan masalah dihanyut air yang naik sehingga paras dada di rumah didiami bersama empat cucu.
“Peti sejuk, televisyen malah kereta cucu tenggelam lantas sudah tidak boleh hidup lagi,” ujarnya.
Bagi Ketua Kampung Matan Nguan, Maeh Akui, 51, berkata, banjir kilat sebegitu tidak pernah terjadi sejak lebih 30 tahun lalu.
“Sebanyak 15 daripada 56 rumah di kampung saya terjejas hingga persiapan Gawai mereka kebanyakannya hanyut dibawa air.
“Nampaknya sambutan Gawai dan ‘ngabang’ (ziarah) dibuat seadanya tidak semeriah seperti kebiasaan sebelum ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Pertahan Awam Daerah Bau, Patrick Lagak Pateh memberitahu, banjir tersebut melibatkan tiga kampung iaitu Tringgus Rabak Rotan, Matan Nguan dan Bong.
“Banjir kilat luar biasa itu dipercayai kemungkinan limpahan air dari gunung di hulu dengan hujan lebat berterusan di sana menyebabkan air naik mendadak sekitar pukul 7.45 malam tadi,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE
No comments