Penjaga Gol Liverpool Terima Ancaman Bunuh
LONDON - Polis sedang menjalankan siasatan apabila penjaga gol Liverpool, Loris Karius menerima ancaman mati dan dikecam teruk di media sosial atas kesilapan besarnya yang menyebabkan pasukan itu tewas di tangan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara.
Karius bertanggungjawab ke atas dua gol pihak lawan dalam kemenangan Real Madrid 3-1 di Kiev pada Sabtu.
Pemuda Jerman berusia 24 tahun itu membaling bola ketika pemain Real Karim Benzema berada berhampirannya lalu menampan bola ke dalam gawang.
Beliau juga gagal menangkap kemas bola rembatan Gareth Bale untuk gol ketiga Real pada minit penutup.
Karius menangis selepas wisel penamat ditiup dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau berasa kesal untuk pemain yang dibelinya dari Mainz pada 2016.
Tiada pemain Liverpool tampil menenangkan Karius, yang dilihat menutup muka sementara turun dari pesawat pasukan itu apabila tiba di Lapangan Terbang John Lennon pada pagi Ahad.
Karius memohon maaf selepas perlawanan itu atas kesilapannya, namun ia tidak menghalang penyokong Liverpool untuk membuat ancaman terhadap beliau dan keluarganya.
Antara catatan dimuatnaik termasuk berharap Karius meninggal dunia akibat kanser, manakala satu lagi berbunyi:
"Saya berharap anda sekeluarga mati" malah ada juga yang berbunyi "Saya akan bunuh wanita anda".
Jurucakap Polis Merseyside memberitahu Daily Telegraph bahawa pegawai-pegawai sedang menyiasat kenyataan berbaur ugutan tersebut.
"Polis mengambil serius catatan media sosial dan mana-mana kesalahan dikenalpasti akan disiasat.
"Polis Merseyside ingin mengingatkan pengguna media sosial apa-apa kesalahan termasuk komunikasi yang berniat jahat dan tingkah laku mengancam akan disiasat," kata kenyataan itu.
Setelah pulang ke rumah pada hari Ahad, Karius masih dalam keadaan kekesalan apabila cuba menerima prestasi terburuk dalam perlawanan terbesar dalam hidupnya.
Tanpa merujuk kepada kecaman diterima, beliau menerusi Twitter memohon maaf atas prestasi teruk umpama mimpi buruk.
"Belum tidur hingga sekarang. Babak perlawanan terus bermain di benak fikiran. Saya memohon maaf tak terhingga kepada pasukan saya, untuk penyokong, dan semua kakitangan," katanya dalam Twitter.
"Saya tahu saya merosakkannya dengan dua kesilapan dan membuatkan anda semua kecewa. "Seperti yang saya katakan, saya ingin memutar kembali masa tetapi ia tidak mungkin.
"Ia lebih teruk lagi kerana kita semua merasakan bahawa kita boleh mengalahkan Real Madrid dan kami dalam permainan untuk jangka masa yang panjang.
"Terima kasih untuk penyokong-penyokong yang datang ke Kiev dan terus bersama saya, meskipun selepas perlawanan.
"Saya tidak mengambil mudah perkara itu dan ia sekali lagi menunjukkan betapa besarnya keluarga kita. Terima kasih dan kita akan bangkit lebih kuat," ujarnya lagi. -AFP
No comments