Header Ads

Header ADS

Ketua Menteri Sarawak Ziarahi Mendiang Daniel Tajem


KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Dato Sri Daniel Tajem di kediaman keluarga di Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya di sini, hari ini. 
Abang Zohari tiba di kediaman mendiang sekitar jam 9.00 pagi dengan ditemani isteri, Datin Patinggi Datuk Juma'ani Tuanku Bujang dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. 
Menurutnya, beliau kehilangan seorang rakan dan insan yang banyak berkongsi ilmu pengetahuan dengannya ketika hayat mendiang. 
"Sesungguhnya Sarawak telah kehilangan seorang pemimpin yang begitu dekat dan ambil berat akan kepentingan rakyat negeri ini. 
"Semasa hayatnya saya berpeluang berkhidmat di bawah mendiang sebagai Menteri Muda Pertanian dan Pembangunan Masyarakat. Di sepanjang tempoh tersebut saya telah banyak belajar dari mendiang," katanya. 
Mengimbau kembali kenangan bersama mendiang, Abang Johari berkata, mendiang memintanya membantu dalam dua bidang iaitu penubuhan Persatuan Nelayan Sarawak dan Persatuan Peladang Sarawak. 
"Pada masa itu, dua organisasi ini masih belum ada dan saya berpeluang membantu mendiang dalam penubuhan dua organisasi ini.
"Kini, dua organisasi ini amat penting dalam pembangunan pertanian di negeri ini," katanya.

Mendiang Daniel Tajem meninggal dunia pada usia 82 tahun. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.