Header Ads

Header ADS

Gareth Bale Kecewakan Semangat Liverpool Rangkul Liga Juara-Juara Eropah


KIEV - Gareth Bale masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan dua gol, termasuk salah satu gol tercantik di final Liga Juara-Juara ketika Real Madrid menewaskan Liverpool 3-1 di Kiev Sabtu lepas, sekali gus memenangi kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

Tendangan akrobatik Bale pada minit ke-64 meletakkan Real 2-1 di hadapan tidak lama selepas beliau dimasukkan, ekoran permulaan separuh masa kedua yang dramatik di mana Karim Benzema membuka jaringan buat Real dari satu kesilapan penjaga gol Liverpool, Loris Karius. 

Sadio Mane mengikat kedudukan buat Liverpool buat seketika sebelum Bale meletakkan Real kembali di hadapan dan kemudian mengesahkan kemenangan dengan gol ketiga dari satu rembatan jarak jauh yang turut gagal ditangani Karius.

Malam Liverpool sudah terjejas dengan kecederaan Mohamed Salah pada separuh masa pertama dengan penyerang antarabangsa Mesir itu dikeluarkan seawal minit ke-30 kerana kecederaan di bahagian bahu. 

Ia bukan malam buat Salah, dengan jurulatih Real, Zinedine Zidane, menjadi jurulatih pertama yang memenangi trofi Liga Juara-Juara sebanyak tiga tahun berturut-turut.

“Dengan sebuah pasukan seperti ini, kami boleh melangkah jauh tetapi memenangi tiga daripadanya, ia sesuatu yang gila,” kata Zidane selepas perlawanan. 

Real Madrid menjadi pasukan pertama memenangi tiga kejuaraan berturut-turut sejak Bayern Munich pada 1976. 

Ia juga kejuaraan keempat dari lima tahun dan satu rekod kali ke-13 keseluruhan. 

Cristiano Ronaldo kini memenangi kejohanan ini sebanyak lima kali dalam kariernya tetapi malah beliau juga tidak dapat menafikan sumbangan Bale pada malam itu.

Apabila ditanya jika ia gol terbaik yang beliau pernah jaringkan, Bale berkata: “Saya harus berkata ya, di peringkat terbesar dunia bola sepak di mana anda menjaringkan gol seperti itu, ia seperti impian menjadi kenyataan.” 

Tetapi Bale kurang beraksi dalam kesebelasan utama musim ini dan beliau mengakui beliau sekarang akan menimbangkan masa depannya dalam beberapa minggu akan datang.

“Saya merasakan saya seharusnya bermain setiap minggu dan jika ia tidak berlaku di sini, ia sesuatu yang perlu saya pertimbangkan. Kami akan duduk berbincang pada musim panas dan cuba menyelesaikan isu ini.” 

Bale dibayangkan akan diturunkan dalam kesebelasan utama di final tetapi beliau bermula di bangku simpanan dengan Zidane memilih untuk menurunkan Isco – sama seperti final menentang Juventus tahun lepas – sebelum membuat impak besar sebagai pemain gantian.

Bagi Liverpool, final ini akan diingati kerana kesilapan Karius dalam separuh masa kedua dan tangisan Salah apabila dikeluarkan pada separuh masa pertama. 

Salah mengalami kecederaan di bahu kiri selepas diasak Sergio Ramos pada minit ke-25. 

Walaupun kembali semula ke dalam padang selepas menerima rawatan, beliau dikeluarkan lima minit kemudian dan diganti oleh Adam Lallana. 

Peluang beliau beraksi di Piala Dunia 2018 bersama Mesir kini menjadi tanda-tanya.

“Ia kecederaan serius. Beliau ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Ia sama ada tulang bahu atau di bahagian bahu,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. 

Kecederaan Salah dan juga kecederaan pemain Real, Dani Carvajal, yang turut meninggalkan padang sebelum rehat, menjejaskan rentak permainan selepas permulaan menarik di mana Liverpool kelihatan mempunyai lebih banyak peluang.


Selepas Salah dikeluarkan, Real membayangkan peluang dan mereka ada menjaringkan gol pada minit ke-43 tetapi tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Ia kelegaan buat Liverpool untuk menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan tetapi dalam separuh masa kedua, mereka harus menyalahkan diri mereka sendiri.

Isco melihat rembatannya terkena palang selepas Lallana gagal mengeluarkan bola dari bahaya sebelum Benzema membuka jaringan pada minit ke-51.

Ia berpunca dari kesilapan Karius, yang cuba melorong bola kepada rakan sepasukan yang paling hampir tetapi bola terkena kaki Benzema dan masuk ke dalam pintu gol.

Liverpool tersentak dengan gol itu tetapi berjaya mengikat kedudukan tidak lama selepas itu apabila Mane menanduk umpanan Dejan Lovren dari tendangan sudut James Milner.
Tetapi impian mereka untuk satu kebangkitan musnah apabila Bale dimasukkan.

Pemain antarabangsa Wales itu hanya dimasukkan dalam masa dua minit apabila menyempurnakan hantaran lintang Marcelo dengan tendangan akrobatik untuk meletakkan Real kembali di hadapan sebelum melengkapkan jaringan pada minit ke-83. — AFP 


No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.