Orang Melayu Dan Bumiputera Perlu Tahu Sejarah UiTM
SHAH ALAM - Penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah satu tanggungjawab, yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam semangat menjunjung salah satu daripada tujuh titah wasiat Raja-Raja Melayu.
Langkah demi langkah dirintis untuk menubuhkan UiTM, tapak demi tapak UiTM mendaki tangga kejayaan.
Setiap pencapaian membuktikan Allah SWT telah memakbulkan ‘Doa Merdeka’ - doa yang dipimpin bacaannya oleh Syeikh Ahmad serta diaminkan oleh para jemaah, pada pagi 31 Ogos 1957.
Demikianlah dipetik kembali titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM, Shah Alam pada 8 November 2016.
Kalau dihayati dan diambil serius titah ini, tidak akan muncul tuntutan seperti mana dibangkitkan oleh Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) kelmarin supaya UiTM dibuka kepada semua kaum.
UiTM telah melalui pelbagai tahap pembangunan bermula dengan pembentangan ‘Paper No.10/1951’ oleh Datuk Onn Jaafar (Allahyarham) dalam Federal Legislative Council untuk menubuhkan Rural and Industrial Development Authority atau lebih dikenali dengan nama RIDA. RIDA ditubuhkan pada bulan Ogos 1951 dengan tujuan antara lainnya untuk mempertingkat status sosioekonomi dan kesejahteraan umum orang Melayu.
Seksyen 5 kertas yang dibentangkan secara jelas menetapkan objektif penubuhan RIDA:
“In order to be able to utilize the resources of government and to stimulate the interest and obtain the support of the people in the kampongs, it is essential that every effort be made to bring the people closer to the government, and train them to bring their needs before the government through a systematic channel, initiating from the kampongs and moving progressively to RIDA as the appropriate instrument set up for the purpose.”
Titah Sultan Nazrin, orang kampung yang dimaksudkan merujuk kepada masyarakat desa yang terdiri daripada orang Melayu. Semasa Tanah Melayu berada di bawah naungan pemerintahan Inggeris, orang Melayu telah dinafikan banyak perkara di tanah airnya sendiri terutama di bidang-bidang perniagaan, perdagangan, usahawan, pekerjaan dan pelajaran.
Ungkapan-ungkapan ‘dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di riba mati tak makan’, ‘ayam di kepuk kelaparan – itik di air kehausan’, ‘sepuluh jong masuk–anjing tetap bercawat ekor’, memberikan gambaran rintihan pedih, penderitaan yang dialami oleh majoriti anak bangsa ketika itu. Bangsa melihat kemakmuran buminya diteroka, hasil mahsul buminya dikaut, melimpahkan rahmat kepada orang lain, sementara pribumi merintih sendiri.
Rang Undang-Undang Institut Teknologi Mara (ITM) dibentangkan di Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir Mohamad (Tun) pada 13 April 1976. Sepuluh ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan, lapan dari Semenanjung dan dua dari Sarawak. Lima daripada ahli-ahli Parlimen tersebut meminta ITM menubuhkan cawangan di negeri-negeri.
Tiga daripada pembahas usul, Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Chee Khoon, Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Padang Serai, Lim Kiam Hoon dengan hujah mahu memupuk perpaduan kaum mencadangkan supaya pintu ITM turut dibuka kepada semua warganegara.
Cadangan tersebut dibidas oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Shamsuri Md. Salleh dengan hujah:
“Tuan Yang di Pertua, peruntukan yang diberi kepada Institut Teknologi Mara oleh Kerajaan itu kalau dinilai dengan emas, maka emas itu hanya sesaga, kalau dinilai dengan tanah, maka tanah itu tidak lebih hanya sebesar kelangkang kera. Emas sesaga, tanah yang sebesar kelangkang kera itulah yang diungkit-ungkit, disebut-sebut, ditagih oleh pihak pembangkang untuk dikongsi dengan orang-orang bukan bumiputera, atas alasan hendak mewujudkan perpaduan negara, hendak membasmi kemiskinan, dengan tidak kira kaum.”
Dr. Mahathir semasa menggulung perbahasan telah menolak cadangan untuk membuka pintu ITM kepada semua warganegara dengan hujah bahawa perpaduan tidak wajar hanya didesak untuk dilaksanakan di ITM sedangkan ahli-ahli Yang Berhormat dari Kepong dan Kota Melaka sering kali menuntut diperbanyakkan lagi penubuhan sekolah-sekolah aliran Mandarin dan Tamil.
Dr. Mahathir menyeru agar mereka yang bersungguh mahu merealisasikan agenda perpaduan nasional untuk membuktikannya dengan menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan. Dua puluh tiga tahun selepas itu ketika berjawatan Perdana Menteri, Dr. Mahathir mengisytiharkan ITM bertaraf universiti pada 26 Ogos 1999.
UiTM telah berjaya memenuhi visi dan misi untuk membangunkan sumber manusia Melayu. Kejayaan yang dicapai telah menjadi sumber inspirasi untuk mencipta kejayaan lebih gemilang. Setelah 62 tahun penubuhannya, UiTM kini memiliki enrolmen 165,000 pelajar disokong dengan kekuatan 500 program pengajian akademik yang dikendalikan oleh 24 fakulti serta 4 pusat pengajian.
Di samping kampus induk di Shah Alam, tersebar di serata negara 12 kampus cawangan dan 21 kampus satelit yang tanggungjawabnya didukung oleh 18,188 staf akademik, staf pengurusan dan staf sokongan. Sehingga November 2016, UiTM telah mencatat rekod menghasilkan 687,176 graduan.
UiTM berjaya melatih tenaga mahir, tenaga profesional bumiputera sekali gus turut memenuhi strategi serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru. Pertama, untuk membasmi kemiskinan, dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.
Kedua, mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia, untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum, mengikut fungsi ekonomi. Puluhan ribu graduan yang dihasilkan oleh UiTM telah dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan dan puluhan ribu yang berada dalam kategori menengah Melayu hari ini, terdiri daripada graduan UiTM.
Peningkatan angka golongan menengah Melayu, setidak-tidaknya membantu, menyediakan orang Melayu dengan satu angkatan baharu yang memiliki modal insan dan modal budaya yang lebih tinggi serta secara tidak langsung dapat mengurangkan kegelisahan bangsa seperti yang diperingatkan oleh Tan Siew Sin dalam ucapannya, “an economically depressed Malay community in a prosperous Malaya will not mean a peaceful Malaya”.
Tuntutan Hindraf berkaitan UiTM bukanlah isu baharu.
Pada September 2013, tuntutan sama dibangkitkan oleh pembantu kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd. Daud.
Antara yang menyanggahnya termasuklah Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad. Tegas Abdul Rahman, UiTM tidak mungkin dibuka kepada kaum lain kerana institusi itu merupakan salah satu keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153.
Jika ada mana-mana pihak yang mempertikai keistimewaan kaum Melayu, ia bermakna mereka telah melanggar Perlembagaan, kata beliau.
Keistimewaan UiTM sewajarnya tidak perlu dipertikaikan kerana masih ada puluhan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terbuka kepada semua kaum dan tidak dihadkan kuota kemasukannya.
Malah, dilaporkan ketika ini terdapat lebih 20 universiti awam dan 24 swasta, sembilan kampus universiti antarabangsa dan 27 kolej universiti swasta.
No comments