KPDNKK Kerah 200 Anggotanya Pantau Dan Periksa Tanda Harga Di Bazar Ramadan
KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengerahkan seramai 200 orang pegawai penguatkuasanya untuk memantau dan memeriksa pematuhan tanda harga di kalangan peniaga bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri ini.
Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak, Md. Nawawi Ab. Rahman berkata, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan setiap hari itu adalah untuk memastikan para peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan supaya meletakkan tanda harga pada jualan.
“Pemantauan dan pemeriksaan pematuhan penandaan harga di kalangan peniaga bazar Ramadan perlu dilaksanakan bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu penandaan harga,” katanya ketika ditemu-bual selepas mengadakan lawatan pemeriksaan ke Bazar Ramadan Kota Sentosa di sini, hari ini.
Md. Nawawi menegaskan tindakan akan diambil ke atas peniaga yang melakukan kesalahan tersebut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“Bagi individu yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara atau kompaun tidak melebihi RM25,000.
“Manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau kompaun tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan pertama,” katanya.
No comments