Fattah Amin Buat Kejutan
SHAH ALAM - Selepas acap kali meninggalkan tanda tanya di laman Instagram miliknya sejak kebelakangan ini sehingga timbul pelbagai spekulasi, Fattah Amin, 28, akhirnya mendedahkan bahawa semua itu adalah sempena pelancaran single terkininya.
Menurut Fattah, tidak dinafikan sebelum ini ramai beranggapan status dimuat naik seolah-olah ingin memberitahu bahawa dia dan isterinya, Nur Fazura bakal menimang cahaya mata sulung mereka.
Sebaliknya, gimik itu bertujuan untuk mempromosikan kelahiran lagu raya berjudul Syawal Kali Ini, karya ciptaan Aizat Amdan dan Mel Ramlan manakala buat julung kali menampilkan bakat lakonan kedua-dua ibu bapanya menerusi klip videonya.
“Apabila kita meraikan Syawal pastinya berkait rapat dengan ahli keluarga dan kampung halaman. Sebab itulah saya ajak mereka untuk turut serta.
“Lagipun klip video lagu ini merupakan karya pertama arahan saya. Alhamdulillah, atas dasar sokongan kepada saya selaku anak mereka, tiada masalah untuk memberikan kerjasama. Tak perlu nak pujuk-pujuk,” katanya kepada Utusan Online.
Sementara itu, aktor tinggi lampai itu berkata, single tersebut adalah hasil kolaborasi dengan syarikat pengeluar produk wangian AJ De’ Parfum.
“Selama dua tahun bergelar duta produk ini, secara rasmi hari ini diumumkan bahawa saya bersetuju menjadi rakan kongsi perniagaan dan menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO.
“Justeru, kepada peminat yang ingin mendapatkan cakera padat (CD) single ini boleh membeli set yang disertakan wangian kereta jenama AJ De’ Parfum dengan harga RM35 setiap satu,” katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments