Pusat Serbaguna Mahligai Gading Idea Tok Nan Kini Siap Dan Boleh Digunapakai
LUNDU: Bangunan Pusat Serbaguna Mahligai Gading yang bercirikan komuniti hasil cetusan dan idea Allahyarham bekas Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Adenan Satem telah siap dan diserahkan kepada Majlis Daerah Lundu dalam satu Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Serbaguna Mahligai Gading di sini, semalam.
Pusat Serbaguna Mahligai Gading mula dibina dua tahun lalu sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke 11 lepas dan siap lebih awal dari tarikh yang ditetapkan kontraktor terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu berkata bangunan ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan terkini yang sesuai digunakan untuk mengadakan seminar atau perjumpaan pejabat.
"Bangunan Pusat Serbaguna Mahligai Gading ini dibina hasil daripada peruntukan dari Kerajaan Negeri Sarawak, Petronas, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem sendiri menerusi suara emas nyanyian sewaktu menjadi Ketua Menteri dahulu.
"Kos pembinaan Pusat Serbaguna Mahligai Gading ini bernilai RM4.1 juta yang dilengkapi kemudahan canggih dan selesa seperti bilik seminar, ruang untuk disewa kepada orang ramai, swasta dan jabatan kerajaan," katanya.
Jamilah yang juga Pengerusi Pemegang Amanah Lembaga Kebajikan Islam Lundu menjelaskan banyak NGO's memohon tempat ini dijadikan pejabat, tetapi dengan kos penyelenggaraan yang tinggi menyebabkan permohonan itu tidak dapat diadakan.
"Untuk itu, kita membuat pusat serbaguna ini agar semua orang dapat menggunakannya dan menyewa dengan kos yang lebih rendah," tambahnya.
Pembinaan Pusat Serbaguna Mahligai Gading ini adalah usaha Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem hasil daripada sumbangan NGO's sewaktu PRN Sarawak Ke 11 lepas di Miri.
"Jika anda masih ingat lagi, sewaktu Allahyarham Tok Nan menjadi Ketua Menteri beliau telah berseloroh jika mahu mendengarnya menyanyi perlu memberi sumbangan.
"Hasil sumbangan syarikat-syarikat dan NGO's itulah, bangunan Pusat Serbaguna Mahligai Gading ini dibina," katanya.
Hadir sama Pegawai Daerah Lundu Awang Putera Yusri Haji Awang Ridzuan, Pengurus Besar Petronas Sarawak Shamsur Taha, wakil Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Lai Phui Hua, Pemanca Hj Bentani bin Suni, Ketua-ketua Masyarakat dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Kebajikan Islam Lundu.
No comments