Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Tetap Laksanakan Projek Wireless Walk Miri Untuk Rakyat


MIRI: Projek pembinaan Wireless Walk Miri tetap diteruskan biarpun mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen Miri yang menyifatkan projek tersebut gagal.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg memberitahu projek Wireless Walk akan tetap dilaksanakan dan dijangka siap pada Mac ini. 

"Projek Wireless Walk yang merupakan sebuah Projek Rakyat ini akan diteruskan dan dijangka siap pada Mac ini.

"Projek yang bernilai RM3.3 juta ini akan mempunyai 52 gerai termasuk 5 trak makanan sepanjang 500 meter yang terletak di pejalan kaki koridor tersebut.

"Kemudahan lain yang akan disediakan ialah bekalan elektrik dan gas," katanya semasa mengadakan lawatan kerja Projek Rakyat 'Wireless Walk' Miri di sini, petang semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talip Zulphilip dan Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

Abang Zohari turut mengumumkan bahawa Wireless Walk akan dilengkapi dengan kemudahan internet wifi percuma berkelajuan tinggi.

"Wireless Walk akan dilengkapi dengan internet wifi berkelajuan tinggi untuk kemudahan pengguna dan orang ramai yang berkunjung di situ.

"Jaringan internet yang laju dan percuma ini merupakan faktor kepada tarikan pengunjung dan pelancong untuk datang ke Wireless Walk ini," tambahnya. 

Wireless Walk ini akan diletakkan di bawah seliaan Pejabat Residen Bahagian Miri.

Selain gerai makanan dan minuman, Wireless Walk juga akan menyediakan kemudahan gerai bagi menjual barangan kraftangan dan buah-buahan untuk keperluan pengunjung.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.