Header Ads

Header ADS

Projek Jambatan Batang Lupar Dan Rambungan Diteruskan Guna Dana Kerajaan Sarawak


KUCHING: Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Rambungan akan diteruskan dengan menggunakan dana daripada kerajaan negeri demi pembangunan rakyat Sarawak.  
Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberitahu, projek pembinaan dua jambatan tersebut kini dalam proses tender yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
“Ia dalam proses tender yang dilakukan secara tender terbuka di bawah JKR negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Fiesta Samariang di Kalan Kampung Lintang di sini, semalam.
Abang Johari menjelaskan, dana untuk pembinaan dua jambatan itu yang sebelum ini diluluskan kerajaan pusat terdahulu (Barisan Nasional) telah ditarik balik oleh kerajaan pusat yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH).
“Dana untuk Jambatan Batang Lupar sudah dipotong (ditarik balik kerajaan pusat), dana Jambatan Rambungan pun dipotong, tetapi untuk rakyat, Sarawak (kerajaan negeri) akan meneruskan projek pembinaan jambatan-jambatan ini menggunakan dana yang kita ada,” tegasnya.
Menurutnya, dengan adanya dana tambahan hasil pelaksanaan cukai minyak dan gas sebanyak lima peratus oleh kerajaan negeri, ia dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat dan negeri ini.
“Sebab itulah, saya melihat penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini adalah satu saluran politik yang tepat dan mampu mempertahankan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“Malah, kita memberi penekanan kepada hak kita mengikut perjanjian yang dimeterai semasa penubuhan Malaysia,” tambahnya.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan meneruskan rancangan projek pembinaan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil hingga Kampung Tanjong.
Beliau berkata, projek pembangunan itu diteruskan dengan menggunakan dana kerajaan negeri.
Katanya, sebelum ini projek tersebut diluluskan kerajaan pusat terdahulu (Barisan Nasional), namun dana untuk projek ini telah ditarik balik oleh kerajaan PH.
“Dengan adanya tebingan sungai ini nanti, ia bukan sahaja mencantikkan kawasan di sepanjang kampung-kampung di tepi sungai ini tetapi juga boleh dijadikan tempat untuk riadah masyarakat di sekitar sini,” tambahnya.
Menurut Abang Johari lagi, tender untuk projek akan dikeluarkan tahun ini yang dilakukan secara tender terbuka dan selepas selesai proses tersebut ia akan terus dilaksanakan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.