Header Ads

Header ADS

Program 'Back To School Tanjong Datu' Serlah Kematangan Pemimpin GPS


LUNDU: Program 'Back To School' Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu yang diadakan ini merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Hajah Jamilah Hj Anu.

Menurut Datuk Amar Jamilah, ini disebabkan tidak semua di kalangan ibu bapa dan penduduk di sini mempunyai kemampuan untuk menyediakan barangan keperluan baru untuk anak-anak menjelang sesi persekolahan baru.

"Saya mengambil berat tentang pendidikan anak-anak kita tanpa mengira agama dan bangsa serta fahaman politik kerana mereka semua anak Sarawak yang akan menjadi pemimpin negeri Sarawak akan datang. 

"Saya juga mengambil berat akan keperluan perbelanjaan yang dihadapi oleh ibu bapa menjelang permulaan sesi persekolahan. Inilah sebabnya program sebegini diadakan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak pada awal tahun yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga yang kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Program 'Back To School' di Kampung Stoh di sini, pagi semalam.

Seramai 120 orang kanak-kanak menerima bantuan berupa beg dan peralatan sekolah masing-masing di Zon Lundu dan Sampadi. 

Hadir sama Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.03 Tanjong Datu, Kaunselor Fatimah Abdullah, Ketua-Ketua Masyarakat dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Jamilah turut mengumumkan pemberian bantuan dana kewangan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah di kawasan DUN Tanjong Datu bagi membolehkan aktiviti sekolah dilaksanakan.

"Selain memberi beg dan kelengkapan sekolah, saya turut memberi dana untuk PIBG di setiap sekolah di kawasan DUN Tanjong Datu walaupun saya tidak dijemput atau di alu-alukan di sekolah-sekolah.

Ini adalah tanggungjawab saya sebagai pemimpin dalam memastikan anak-anak bukan sahaja mendapat pendidikan di sekolah, tetapi juga melakukan aktiviti lain yang boleh mengembangkan bakat dan minda anak-anak," tambahnya.


Di samping penyerahan beg dan kelengkapan sekolah, turut diadakan program gunting rambut secara percuma oleh Pergerakan Pemuda PBB N.03 Tanjong Datu yang diketuai oleh Ketua Pemuda, Azizul Anuar Adenan. 

Terdahulu, pada sebelah paginya telah diadakan perasmian Program Rakan Taman yang merupakan anjuran bersama Majlis Daerah Lundu dan PBB N.03 Tanjong Datu serta Persatuan Ibu Tunggal Daerah Lundu (PITSA). 

Selain itu, juga diadakan penyerahan sijil lantikan kepada Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) Zon 7  Kampung Sileng Lundu. 


Pada majlis itu juga, Jamilah turut menyerahkan dana Kerajaan Negeri Sarawak untuk baik pulih rumah ibadat dan penyerahan insentif Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera 2018. 

Hadir sama Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Gustian Hj Durani, Naib Ketua Cawangan PBB N.03 Tanjong Datu, Kaunselor Benjamin Gersit dan Penghulu Kampung Sileng Melayu, Haji Mahyan bin Suaidi serta Ketua-Ketua masyarakat.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.