Header Ads

Header ADS

Beberapa Jalan Utama Di Kuching Ditutup Sempena Sambutan Tahun Baru 2019 Pada 31 Disember


KUCHING: Beberapa jalan akan ditutup sementara sempena majlis sambutan 'New Year Countdown' 2019 pada 31 Disember ini.
Majlis yang akan bermula pukul 5 petang itu dijangka berlanjutan sehingga pukul 3 pagi bertempat di Tebingan Kuching dan akan dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Sehubungan itu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan melaksanakan penutupan dan lencongan jalan di sekitar venue sambutan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, ACP Ng Ah Lek menerusi kenyataan media hari ini berkata penutupan dan lencongan jalan akan bermula pada pukul 6 petang sehingga majlis selesai dan jalan yang terlibat adalah Jalan Main Baazar menghala ke Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Gambier menghala ke Jalan Tun Abang Haji Openg/Main Bazaar.
Bagaimanapun katanya, keperluan penutupan dan lencongan jalan itu bergantung kepada keadaan semasa yang difikirkan sesuai berdasarkan penilaian aliran trafik oleh pegawai polis trafik bertugas supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya lain yang ingin melakukan aktiviti harian.
"Orang ramai yang ingin menghadiri dan menyaksikan majlis tersebut yang dianggar dihadiri 5,000 orang, dinasihati meletakkan kenderaan di Reservior Park dan tempat letak kereta Poliklinik, Jalan Masjid.
"Orang ramai juga dinasihati merancang masa perjalanan masing-masing pada hari tersebut dan sila patuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas diarahkan oleh pegawai polis bertugas," katanya.
Orang awam juga katanya dilarang meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan berdekatan venue sambutan yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas kepada pengguna jalan yang lain.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada mana-mana orang awam yang mengingkari arahan pegawai polis bertugas. Kerja sama semua pihak amat diharapkan bagi melancarkan sambutan ini," katanya.
Sebarang pertanyaan ujarnya boleh diajukan dengan menghubungi Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuching di talian 082- 221222. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.