Hasil Mesyuarat Pertama MA63 Akan Diumumkan Bulan Depan
KUCHING: Hasil rundingan mesyuarat pertama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka akan diumumkan pada bulan depan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, butiran isu berkenaan akan diumumkan selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Perundingan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 Januari depan.
“Saya akan memberikan butiran berhubung perkara ini pada 3 Januari depan selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Perundingan DUN Sarawak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai hasil perbincangan MA63 pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) MA63 di Putrajaya pada 17 Disember lalu.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan kunjungan ke Majlis Rumah Terbuka Krismas di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep di Bau, di sini, kelmarin.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah serta tetamu-tetamu kenamaan lain.
Abang Johari berkata, perbincangan berjalan lancar malah pihaknya turut mengutarakan pelbagai isu penting termasuk mengemukakan peruntukan dari sudut negeri ini.
“Itu adalah mesyuarat yang baik dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita telah mengemukakan kedudukan Sarawak dalam MA63,” katanya.
Memetik laporan BERNAMA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong dalam kenyataan medianya pada 17 Disember lalu berkata, satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) untuk Menyemak MA63 telah diadakan buat julung kali dan dipengerusikan oleh Dr Mahathir.
Kata Liew, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antara mereka yang hadir pada mesyuarat itu.
Menurutnya, mesyuarat itu selaras dengan komitmen kerajaan persekutuan untuk menyemak pelaksanaan MA63.
Liew memberitahu, isu-isu yang dibentangkan termasuk cadangan mengembalikan semula hak autonomi Kerajaan Sabah dan Sarawak dalam beberapa perkara seperti kewangan, eksplorasi minyak, perlombongan dan gas, perundangan, tanah dan hasil daripada tanah, kerja raya persekutuan dan negeri, maritim dan perikanan, sumber manusia dan perkhidmatan awam negeri.
Selain itu katanya, pindaan kepada Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan kepada fasal sebelum pindaan pada 1976 turut dibincangkan.
Tambahnya, jawatankuasa itu akan bersidang dua bulan sekali dan diberi masa enam bulan dari tarikh mesyuarat semalam untuk membentangkan laporan akhir.
“Selaras dengan prinsip Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak sebagai rakan sekutu kepada Semenanjung, Jawatankuasa Khas Kabinet hari ini (17 Disember) turut meluluskan usul pelantikan ahli tambahan dari Sabah dan Sarawak.
“Ahli tambahan ini ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Gerawat Gala, Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan bekas Peguam Besar Sabah Datuk Stephen Foo Kiat Shin,” kata Liew. -Utusan Borneo Online
No comments