Ketua Menteri Luluskan Peruntukan RM9 Juta Perbesarkan Masjid Serian
SERIAN, 22 November - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan sebanyak RM9 juta untuk memperbesarkan Masjid Serian, di sini.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut yang akan diserahkan kepada Majlis Islam Sarawak (MIS) adalah untuk menampung pertambahan jemaah yang semakin meningkat di masjid berkenaan.
“Saya serahkan kepada MIS untuk berunding dengan Lembaga Pengurusan Masjid Serian mengenai reka bentuknya, supaya dapat menampung jemaah yang ramai pada satu-satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sebuah van jenazah kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (LAKIS) di Masjid Serian, semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Pengerusi LAKIS Joe Faizal Abdullah.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata keputusan memperbesarkan masjid tersebut diambil setelah mendapati cadangan untuk membina masjid baharu di tempat lain bagi penganut Islam di Serian tidak begitu sesuai.
“Kita khuatir apabila membina masjid baharu di tempat yang agak jauh, jumlah jemaahnya mungkin tidak banyak kerana ia berjauhan dengan penduduk. Jadi, adalah lebih baik kita perbesarkan sahaja Masjid Serian ini,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut memperuntukkan sebanyak RM500,000 kepada LAKIS, sebagai dana untuk menyelenggara Masjid Serian sebaik sahaja pembesarannya selesai.
Katanya, ia memandangkan pembesaran Masjid Serian akan turut merangkumi pertambahan tempat letak kereta serta kemudahan lain yang diperlukan jemaah. -Utusan Borneo Online
No comments