Header Ads

Header ADS

Menteri Pendidikan Takut Wakil Rakyat GPS Masuk Sekolah?


KUCHING, 21 November - Larangan terhadap wakil rakyat pembangkang menghadiri program di sekolah tanpa kebenaran daripada Kementerian Pendidikan merupakan satu diskriminasi dan bercanggah dengan amalan demokrasi.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang yang berkata demikian menambah, ia mungkin juga tidak sejajar dengan erti kebebasan terkandung dala Fasal 10 Perlembagaan Malaysia.

“Apakah yang Menteri (Pendidikan Dr Maszlee Malik) takutkan sangat kehadiran wakil rakyat pembangkang ke sekolah? Takut kita berpolitik macam mereka buat dulu semasa mereka jadi pembangkang?

“Apakah adil hanya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sekarang saja boleh hadir atau mengadakan majlis-majlis di sekolah? Jangan lupa rakyat yang memilih wakil pembangkang adalah pembayar cukai juga," katanya yang diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Maszlee, hari ini.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata masih banyak sekolah di Sarawak berada dalam keadaan daif yang memerlukan bantuan daripada wakil rakyat pembangkang seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, larangan sebegitu tidak wajar dikenakan sedangkan wakil rakyat GPS sentiasa menghulurkan bantuan dalam bentuk dana dan barangan keperluan dengan niat memastikan murid dan pelajar belajar dalam keadaan selesa.

"Itu adalah arahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk kami bertindak dengan penuh tanggungjawab agar permintaan bantuan dan keperluan sekolah-sekolah diutamakan dan dilaksanakan, walaupun tugas dan tanggungjawab ini semua adalah terletak di atas kerajaan persekutuan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Mana naluri keadilan Maszlee," soalnya.

Sebagai menteri, Maszlee tegasnya perlu memberi tumpuan terhadap isu bangunan sekolah daif, kekurangan guru dan meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam mata pelajaran matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Itu lebih baik berbanding asyik berpolitik dan menukar warna kasut dan stokin.

“Menghadkan kehadiran ke sekolah-sekolah semata-mata kerana sikap cemburu politik adalah sikap merugikan anak-anak sekolah itu sendiri kerana sekatan demikian pasti menjejaskan kelancaran usaha membantu sekolah.

"Sikap cemburu politik ini langsung tidak berasas dan ia hanya menunjukkan ketidakmatangan menteri berkenaan," jelasnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.