Header Ads

Header ADS

Logo GPS Akan Diumumkan Dalam Masa Terdekat - Abang Jo


SARIKEI, 21 November - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa beliau akan mengumumkan logo yang akan digunakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, pengumuman itu dibuat susulan kelulusan pendaftaran GPS oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kelmarin.

“Logo yang akan diguna pakai nanti adalah logo yang telah memenangi pertandingan mencipta logo GPS yang telah dianjurkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media setelah selesai menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Sukan Sarikei, semalam.

Menjawab soalan media berkaitan khabar angin yang mengatakan logo yang telah memenangi pertandingan tersebut tidak diterima penggunaannya, Abang Johari menegaskan ia adalah tidak benar.

“Pihak kita tidak tahu tentang perkara tersebut” tegasnya.


Turut bersama Abang Johari ketika ditemui media ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.


GPS terdiri daripada gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat kelmarin memberitahu, ROS akan mengeluarkan surat rasmi berhubung kelulusan itu dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya Ahli Parlimen Kapit merangkap Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi berhubung status pendaftaran GPS. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.