Masalah Banjir Di Kuching Dijangka Dapat Diatasi Sepenuhnya November 2019
KUCHING - Masalah banjir kilat yang berlaku kebelakangan ini di bandar raya ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya selepas projek sistem perparitan dan saliran fasa ketiga siap tahun depan.
Menurut Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (gambar), fasa pertama dan fasa kedua projek itu di bandar raya ini telahpun siap, dan kini ia memasuki fasa ketiga.
"Fasa ketiga merupakan sambungan projek sistem perparitan yang dibina di hadapan Poliklinik Jalan Masjid (berdekatan Padang Merdeka), untuk mengalirkan air takungan ke sungai.
"Buat masa ini, fasa tersebut masih lagi dijalankan dan dijangka akan siap pada November tahun depan. Kita percaya dengan siapnya projek ini, ia akan dapat mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di bandar raya ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis majlis perasmian Hari Integriti dan Inovasi serta Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan DBKU 2018 yang disempurnakan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip di Auditorium DBKU di sini, hari ini.
Ditanya jika terdapat usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek sistem perparitan dan saliran itu,
Abang Wahap berkata, projek itu mengambil sedikit masa untuk disiapkan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu lebih-lebih lagi pada musim hujan.
Namun, beliau memberi jaminan bahawa projek itu dapat siap seperti yang dijadualkan iaitu pada November tahun depan. -Utusan Borneo Online
No comments