Header Ads

Header ADS

Kita Tidak Menakut-Nakutkan Pejuang Tanah NCR - Uggah


KUCHING - Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini menyangkal dakwaan mengatakan beliau cuba 'menutup mulut' pejuang-pejuang tanah hak adat Bumiputera (NCR).

"Objektif saya ialah meminta peguam saya mengeluarkan Surat Tuntutan kepada (Ketua Penerangan Pakatan Harapan Sarawak) Vernon Kedit hanya untuk membersihkan nama saya. Dalam satu artikelnya, mendedahkan 'Uggah, di mana dia bukan hanya menyebut pengkhianat, tetapi sekarang secara rasmi pembohong'.

"Bagi saya itu adalah tuduhan yang sangat serius, fitnah, hasutan dan sangat berniat jahat," tegasnya.


Uggah yang berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama The Borneo Post sebagai respon kepada kenyataan Vernon dalam sidang media, hari ini.


Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata apa yang dikatakan oleh Vernon sangat tidak baik dan tidak boleh diterima, dan tuduhan seperti itu jika tidak diperbetulkan akan menjadi betul di mata rakyat.

"Jika saya tidak membersihkan nama saya, saya dianggap sebagai pengkhianat kepada komuniti Iban dan saya pembohong, saya tidak boleh menerimanya.

"Itulah sebab, saya meminta peguam saya mengeluarkan Surat Tuntutan kepada Vernon," jelasnya.

Uggah juga menasihati Vernon agar berhenti menagih simpati dengan mengatakan beliau menjadi mangsa apabila bersuara mengenai isu-isu NCR.

"Mengenai jawapannya bahawa saya cuba 'menutup mulutnya' kerana dia memperjuangkan tanah NCR, ia adalah cubaannya untuk mengalih tumpuan daripada isu sebenar.

"Isu sebenarnya ialah dia mesti menjelaskan kepada saya kenapa dia menggelar saya pengkhianat dan pembohong," ujarnya.

Uggah berkata Kerajaan Sarawak sangat bertoleransi suara-suara rakyat dan tidak pernah mengambil sebarang tindakan menentang suara rakyat yang menyuarakan ketidakpuasan mereka asalkan ia tidak melanggar undang-undang.

" Beberapa bulan lalu kami mendengar banyak suara, banyak pendapat, banyak ungkapan sama ada dalam media cetak dan sosial, malah ada yang akan mengadakan demonstrasi menyatakan pandangan mereka mengenai tanah NCR.

"Kami tidak mengambil sebarang tindakan kerana kami tidak mahu menakut-nakutkan rakyat yang menyuarakan pandangan mereka. Ini adalah demokrasi," tegasnya.

Uggah turut menegaskan kerajaan negeri Sarawak tidak menyekat rakyat menyuarakan pendapat mereka dan hak-hak rakyat bersuara dihormati di bawah demokrasi.

"Jadi, janganlah alihkan isu ini dan cuba menggambarkan yang kita (kerajaan negeri) menakut-nakutkan dan mahu menghentikan seseorang menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu NCR," katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.