Header Ads

Header ADS

Khabar Angin Mengatakan Beberapa Ahli Parlimen Dan ADUN Meninggalkan GPS Hanya Spekulasi Remeh


KUCHING - Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata khabar angin mengatakan beberapa Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan GPS hanya satu spekulasi remeh.

Malah ujarnya, ia satu cubaan politik yang kosong untuk untuk mewujudkan syak wasangka dan rasa tidak senang hati dalam GPS.

“Mari kita meneliti urutan peristiwa ini, yang saya harap pada akhirnya ia akan melenyapkan sebarang spekulasi ini.

“Segalanya bermula apabila seseorang menulis dalam FB bahawa beberapa Ahli Parlimen daripada GPS akan meninggalkan gabungan ini.

“Pada 5 Ogos, seseorang bernama Johan Mohamed, yang memperkenalkan diri sebagai pengerusi penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Sarawak, berkata mereka tidak tahu mengenai perkara itu dan spekulasi itu tidak datang daripada mereka (Bersatu Sarawak).

“Dia seterusnya berkata mungkin khabar angin itu diwujudkan oleh Parti Pribumi Sarawak (PRIBUMI).

“Johan juga menegaskan BERSATU tidak pernah menjalin kerjasama dengan PRIBUMI,” jelasnya.

Abdullah memberitahu pada 6 Ogos, beliau membaca satu kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung BERSATU Malaysia Datuk Dr Shahruddin, yang menegaskan Majlis Tertinggi mereka belum meluluskan apa-apa mengenai penubuhan cawangan di Sarawak.

Menurut kenyataan akhbar itu katanya, Majlis Tertinggi BERSATU Malaysia masih menimbang perkara itu.

“Saya tidak akan menyebut nama, tetapi salah seorang MP daripada GPS apabila ditanya tentang spekulasi ini, menjawab: ‘Jika saya keluar daripada GPS, saya hendak sertai siapa? Khabar angin ini sama sekali tidak masuk akal dan mengarut’,” katanya.

Beliau berkata bertentangan dengan anggapan negatif dan spekulasi tentang sentimen dalam GPS, sebenarnya semua pemimpin serta ahli dalam GPS tidak sabar dan teruja untuk merayakan acara perasmian untuk penubuhan GPS.

Bagaimanapun Abdullah berkata beliau tidak diberi kuasa untuk mendedahkan tarikh sebenar pelancaran GPS.

“Kemunculan GPS sebagai pakatan politik baharu ini kelak akan dianggap sebagai detik bersejarah untuk semua ahli GPS di seluruh pelosok Sarawak apabiia kami dalam GPS akan memulakan lembaran baharu bagi pakatan parti Sarawak, permulaan baharu ke arah hala tuju serta falsafah politik yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.

Menurutnya dalam beberapa pertemuan antara pe-mimpin serta wakil rakyat GPS, sama ADUN atau MP, amat ketara semangat jitu serta kesungguhan mereka untuk membuktikan bahawa GPS mampu mempertahankan kepentingan serta hak negeri demi kemakmuran warga Sarawak.

Pada masa sama katanya, semua kepimpinan dalam GPS ingin membuktikan bahawa keputusan untuk keluar Barisan Nasional (BN) adalah tepat tanpa sebarang keraguan.

“Kami dalam PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) termasuk rakan-rakan dalam GPS semakin bersemangat ke arah mengukuhkan kerjasama serta persefahaman lebih-lebih lagi dalam mengurus kehendak rakyat yang semakin lantang menginginkan pembangunan terutama di luar bandar,” katanya.

Menurutnya wakil rakyat dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) termasuk rakan-rakan seperjuangan dalam GPS sedar tentang cabaran-cabaran dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

Tetapi ujarnya Ketua Men-eri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu semua wakil rakyat GPS memberi tumpuan yang lebih serius memastikan pembangunan di kawasan masing-masing tidak terabai.

Ketua Menteri tambahnya, mahu setiap wakil rakyat serta pemimpin lain dalam GPS benar-benar memahami pendirian dan hala tuju politik GPS.

“Selepas GPS sudah dirasmi, YAB Ketua Menteri mahu semua bertindak cepat turun padang berjumpa dan memberi penjelasan kepada semua ahli di akar umbi.

“Perdebatan serta perang saraf politik antara GPS dengan pembangkang memang dapat dielakkan, tetapi Ketua Menteri mahu hasil kerja pembangunan serta kesungguhan memelihara kepentingan oleh kerajaan GPS sebagai pengukur yang dinilai oleh rakyat Sarawak pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.

Ketua Menteri tambahnya, serta presiden-presiden parti lain dalam GPS mahu wakil rakyat dalam GPS cepat mengamal budaya yang lebih agresif dan rajin dalam mengurus kebajikan masyarakat di kawasan ma-sing-masing.

Ini kerana ia akan menjadi ciri-ciri ketara yang ingin dilihat rakyat dalam pakatan GPS, selain daripada itu rakyat Sarawak juga ingin melihat sistem pentadbiran yang lebih telus, mesra dan berintegriti, tambahnya.

Katanya mereka sedia maklum pembangkang suka mengamal budaya politik serta kempen memutar belit, berburuk sangka dan menabur fitnah. 

“Tapi kita tidak akan me-ngamal corak politik yang jijik seperti itu kerana mahu perpaduan kaum dan agama di Sarawak tidak tercalar.

“Rakyat Sarawak harus menolak budaya politik bernada perkauman, kebencian dan menghina agama,” tegasnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.