Header Ads

Header ADS

Effendi Norwawi Sokong Kepimpinan Abang Jo Sebagai Ketua Menteri Tepis Dakwaan Dilantik Ketua Menteri Sarawak 2021


KUCHING - Bekas menteri persekutuan Tan Sri Mohd Effendi Norwawi menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sekali gus menepis spekulasi menyatakan beliau akan dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2021.

Effendi yang kini tidak aktif dalam politik berkata beliau kagum dengan kepimpinan Abang Johari dalam terus membawa pembangunan di Sarawak, malah menyokong pendirian Kerajaan Sarawak untuk menjalin kerjasama berlandaskan sistem persekutuan dengan kerajaan persekutuan.

“Saya sangat menyokong Abang Johari dan (beliau) melakukan kerja yang baik untuk Sarawak.

“Beliau mengukuhkan hubungan dengan KL. Saya menyokong Abang Johari, itulah pendirian saya,” tegasnya.

Ketika dihubungi Utusan Borneo semalam, beliau berkata hubungannya dengan Abang Johari amat baik.

“Saya kini tidak terbabit dalam politik dan memberi tumpuan penuh terhadap perniagaan,” katanya.

Spekulasi itu bermula apabila Effendi dikaitkan dengan penubuhan Parti Pribumi Sarawak (PRIBUMI) dengan namanya didakwa sebagai pengerusi.

Ini didedahkan oleh Sha-riff Busrah yang mengaku sebagai presiden PRIBUMI, menerusi Whatsapp semalam yang menyatakan ‘Effendi bakal Ketua Menteri Sarawak 2021’.

Menafikan pembabitannya, Effendi yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Rajang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat berkata: “Saya tidak kenal dia (Shariff). Memang benar tidak ada (kenal)”.

PRIBUMI dikaitkan dengan kontroversi pada minggu lepas yang mendakwa sembilan wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertainya. 

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Shariff turut berkata khabar mengenai sembilan wakil rakyat itu adalah benar.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama wakil rakyat terbabit.


“Ada dua lagi ADUN bersetuju masuk PRIBUMI,” katanya sambil menambah, masa akan tiba untuk beliau mendedahkan wakil rakyat dimaksudkannya.

Shariff sebelum muncul dengan PRIBUMI dikaitkan dengan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sarawak.

“BERSATU tidak akan masuk Sarawak,” kata Shariff.

Bagaimanapun, usaha melebarkan sayap BERSATU di Sarawak seolah-olah ‘didahului’ Johan Mohamad yang pada hujung minggu lepas mengumumkan penubuhan jawatankuasa penaja BERSATU Cawangan Stampin.

Johan turut menjelaskan BERSATU dan PRIBUMI merupakan parti berlainan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.