Header Ads

Header ADS

Jangan Terpedaya Dengan Sikap Ahli Politik 'Bercakap Sebelum Berfikir' Seperti Vernon Kedit


KUCHING - Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata rakyat Sarawak yang kekal percaya kepada keharmonian kaum tidak harus menyokong sikap ahli politik yang ‘bercakap sebelum berfikir’ seperti Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak Vernon Kedit.

“Ahli politik seperti Vernon Kedit yang ‘bercakap tanpa berfikir’ dalam banyak kes akan diabaikan.

“Beliau sering mengeluarkan kenyataan yang tidak peka dengan sensitiviti perkauman, hanya untuk mendapat perhatian politik, suatu yang dianggap tidak bermoral,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Vernon Kedit dalam aplikasi telefon pintar, kumpulan WhatApps PKR State Media Group bertarikh 11 Julai 2018.

Vernon dalam kenyataannya itu menggelar Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai ‘pembohong dan pengkhianat’ dengan mempersoalkan istilah hak ‘usufructuary’, definisi untuk Pulau Galau dan Pemakai Menoa kepada Domain Kawasan Peribumi serta pengehadan kepada 1,000 hektar dan Seksyen 6A Kanun Tanah yang memberi kepentingan kekal kepada NCR.

Abdullah berkata tindakan undang-undang diambil Uggah ke atas Vernon juga memberi mesej jelas bahawa nilai dan etika politik tertentu mesti dikekalkan.

“Memenangi pilihan raya secara memanipulasi kebenaran dan tuduhan liar tidak akan bertahan. Ia boleh mengganggu integrasi kaum dan kedaiaman,” ujarnya.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang turut menyokong tindakan undang-undang diambil Uggah terhadap Vernon.

“Vernon telah membuat kesalahan dua kali. Pertama membuat kenyataan tidak berasas dan memfitnah terhadap Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk menimbulkan kebencian serta ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat terhadap Datuk Amar.

“Kedua, sebagai fitnah, Vernon tidak berhak mendakwa kebenaran berpihak padanya dan berjuang. Sebaliknya apabila dia memfitnah, kedua-dua kebenaran dan undang-undang menentangnya,” kata Tiang.

Justeru beliau menggesa rakyat Sarawak menolak ahli politik yang tidak bermoral dan tidak berpegang kepada fakta tetapi hanya mempunyai matlamat mementingkan diri sendiri. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.