Header Ads

Header ADS

Dennis Sokong Tindakan Uggah Terhadap Vernon Kedit


MIRI - Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau menyokong tindakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas meminta syarikat guaman mewakilinya mengeluarkan surat tuntutan terhadap Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Kedit.

Jelasnya, tuntutan tersebut bagi membersihkan nama Uggah yang didakwa Vernon dalam artikelnya, mendakwa Uggah bukan hanya pengkhianat tetapi disebut sebagai pembohong dalam isu tanah adat.

“Tindakan beliau (Uggah) itu dilihat sangat berani, beliau tidak peduli dengan apa yang dikatakan pihak lawannya.

“Bagi Uggah, apa yang diperjuangkan oleh beliau ialah untuk memikul tanggungjawabnya bagi mempertahankan hak rakyat Sarawak khususnya dalam isu tanah adat,” jelasnya kepada Utusan Borneo ketika mengulas mengenai tindakan Uggah mengemukakan surat tuntutan terhadap Vernon.

Menurut Dennis, Uggah disifatkannya sebagai pemimpin yang berani mengambil tugas mencabar dan mengetuai pasukan untuk mencari jalan penyelesaian bagi pelbagai isu penting termasuk isu mengenai tanah adat.

“Malah, saya sendiri melihat hasilnya. Beliau mengetuai satu pasukan yang berusaha mengubah risiko menjadi satu ganjaran kepada rakyat, perpecahan menjadi sebuah perpaduan dan menjadikan peluang mencabar satu kejayaan yang luar biasa.

“Saya yakin, beliau telah berbincang dengan pasukannya dan berusaha mencari jalan terbaik bagi penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan tanah adat daripada setiap akar umbi,” katanya.

Ujar Dennis, beliau mengenali Uggah sejak dalam Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 2002 dan merupakan pemimpin yang mempunyai dedikasi serta kejujuran yang tinggi.

“Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah juga telah melawat beberapa kawasan di bawah konstituensi saya selepas menjadi menteri berkenaan.

“Itu juga antara kualiti kepimpinan yang ada pada beliau kerana suara setiap rakyat termasuk di kawasan pedalaman harus didengar,” tambahnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.