Header Ads

Header ADS

UPP Akan Dijenamakan Semula Dalam Tempoh 6 Bulan Ini


SIBU - Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan melakukan penjenamaan semula partinya dalam masa enam bulan ini. 

Setiausaha Agungnya George Lo berkata, penjenamaan semula itu merangkumi nama dan logo parti.

Bercakap pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) UPP Ke-2 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini petang semalam, Lo berkata, penjenamaan semula itu perlu dibuat kerana UPP telah memutuskan untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang telah mereka tandatangani sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Di bawah MoU yang disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg itu, kedua-dua pihak disyaratkan untuk bekerjasama rapat bagi memastikan calon-calon dari kedua-dua parti menang pada PRU14.

“Penjenamaan semula kami akan melibatkan perubahan nama dan logo parti di mana UPP adalah sebuah parti berbilang kaum daripada lima wakil rakyat (YB) yang terdiri dua YB Cina dan tiga YB Bumiputera.

“Penjenamaan semula kami ini akan menekankan sifat sebuah parti berbilang kaum dan membidas konsep yang kami adalah parti berasaskan Cina,” katanya.

Lo berkata, pasukan Jawatankuasa Bertindak Khas akan ditubuh untuk mengendalikan penjenamaan semula parti di mana mereka akan memilih nama dan logo baharu.

“Pasukan tersebut akan terdiri daripada presiden serta lima wakil rakyat dan saya sendiri,” jelasnya.

Lima individu berkenaan ialah Dato Sri Wong Soon Koh yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan dan Presiden, Datuk Dr Jerip Susil (ADUN Mambong/Timbalan Presiden), Datuk Tiong Thai King (ADUN Dudong/Naib Presiden) Datuk Ranum Mina (ADUN Opar/Naib Presiden) dan Dr Johnical Rayong Nyipa (ADUN Engkilili/Ketua Pemuda).

Persidangan perwakilan khas itu dilaksanakan dalam masa enam bulan untuk membuat pindaan kepada perlembagaannya bagi membolehkan pelaksanaan penjenamaan semula parti dilakukan.

UPP, menurutnya, akan kekal sebagai parti bebas kerana masih belum menerima jemputan rasmi daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Abang Johari untuk menyertai mereka.

“Pada masa ini, kami tidak tahu struktur GPS dan tidak ada jemputan rasmi kepada kami daripada GPS, justeru, kami memilih untuk menjadi sebuah parti bebas,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, sebagai sebuah parti bebas UPP akan memberi sokongan kepada kerajaan Sarawak dan juga bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam memperjuangkan hak-hak negeri ini demi manfaat rakyat. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.