Header Ads

Header ADS

Pengarah Yayasan Sarawak Kemalangan, Penunggang Motosikal Maut Di Tempat Kejadian


KUCHING - Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah 4WD Land Cruiser di Jalan Sultan Tengah berhampiran Jambatan Santubong di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berpunca daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda yang cuba memotong kenderaan lain di hadapannya lalu berlanggar dengan sebuah motosikal di laluan bertentangan.

"Pada jam 9.15 malam, satu kemalangan maut jalan raya membabitkan sebuah kenderaan 4WD Land Cruiser dan sebuah motosikal jenis Modenas telah berlaku di Jalan Sultan Tengah, berhampiran Jambatan Santubong.

"Kemalangan dipercayai apabila pemandu 4WD, Azmi bin Bujang, 55 tahun yang bergerak dari arah Santubong ke arah Pusat Bandar Kuching cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya lalu berlanggar dengan sebuah motosikal yang ditunggang Basir bin Malik, 40 tahun yang bergerak di laluan bertentangan.

"Akibatnya, penunggang motosikal itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu 4WD itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen memandu digantung.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.