Peniaga Diminta Keluarkan 6 Jenama Sardin Mengandungi Cacing Filum Nematoda Dari Pasaran Severa
KUCHING - Semua peniaga di Sarawak yang menjual produk ikan sardin dalam tin yang disahkan mengandungi cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp diminta untuk menarik balik daripada pasaran dan memulangkan kembali kepada pengedar dengan segera.
Menurut Ketua Kesihatan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Cheong Yaw Liang mendedahkan masih terdapat beberapa peniada di bandaraya ini menjual produk berkenaan walaupun arahan menarik balik jenama ikan sardin tersebut telah dikeluarkan.
Dalam memastikan setiap peniaga mematuhi arahan, pihaknya telah menjalankan lebih banyak pemeriksaan secara berterusan di beberapa premis jualan dan perniagaan di seluruh Sarawak bermula Sabtu lepas.
"Keselamatan orang awam adalah keutamaan kita. Jika kita mendapati mana-mana premis kedai masih menjual produk berkenaan, kita akan keluarkan surat amaran kepada mereka.
"Surat tersebut akan dipanjangkan kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk diambil tindakan," katanya.
Baru-baru ini, beliau telah mengadakan pemeriksaan di beberapa premis kedai jualan di sekitar Padungan dan Kuching di sini, Jumaat lepas.
Dalam pada itu, Dr Cheong mengingatkan peniaga yang gagal atau enggan bekerjasama dalam pemeriksaan itu akan diambil tindakan undang-undang dan ordinan berkaitan.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menarik balik enam jenama produk ikan sardin dalam tin di pasaran kerana disahkan mengandungi bendasing cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis App.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataannya berkata, enam produk ikan sardin tersebut ialah Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.
KKM juga mengenakan tindakan tahan, uji dan lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara.
"Tahan, Uji dan Lepas merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.
"Sementara bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh KKM," katanya.
Dr Noor Hisham turut menjelaskan risiko kepada kesihatan bagi produk ikan dalam tin amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.
Katanya Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak terlibat dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.
Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Pengguna mempunyai kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my (http://moh.spab.gov.my) atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq. (http://www.facebook.com/bkkmhq.)
No comments