Header Ads

Header ADS

Mengewakan Hanya 2 Wakil Rakyat Sarawak Dipilih Dalam Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan


KUCHING - Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kecewa dengan jumlah keanggotaan wakil dari Sarawak dalam kabinet persekutuan.

Lebih mengecewakan, tiada perwakilan daripada komuniti Melayu/Islam Sarawak termasuk Iban/Bidayuh dalam kabinet yang baharu di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya kecewa Sarawak diberikan hanya satu jawatan menteri penuh sekali gus menggambarkan betapa tidak pentingnya Sarawak kepada kepimpinan baharu PH.

“Sarawak adalah penyumbang sumber terbesar kepada pendapatan negara dan dibayar balik dengan hanya seorang menteri kabinet. Ini adalah satu tamparan kepada semua rakyat Sarawak,” katanya.

Karim yang juga naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai senarai penuh kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Tambah Karim, Melayu dan Iban yang mewakili lebih daripada separuh populasi Sarawak tidak diberikan sebarang pengiktirafan dalam membuat dasar dan pembinaan negara. Ini katanya adalah fenomena yang menyedihkan.

Karim bagaimanapun me-ngucapkan tahniah kepada Baru Bian atas pelantikan sebagai menteri penuh dan Chong Chieng Jen sebagai timbalan menteri.

Katanya kedua-dua mereka (Baru dan Chong) memiliki pengalaman dan berkebolehan untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

“Saya gembira untuk mereka berdua dan saya doakan kejayaan untuk mereka berdua dalam tugasan baharu mereka ini.

“Saya juga berharap mereka akan memastikan hak-hak Sarawak akan dijaga dengan baik dan pembangunan Sarawak akan diberikan keutamaan yang setara dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Baru yang merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan Ahli Parlimen Selangau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Manakala Chong yang merupakan Pengerusi PH Sarawak dan pengerusi DAP Sarawak serta Ahli Parlimen Stampin dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.