Header Ads

Header ADS

Guru Digesa Sokong Dasar Digital Yang Diperkenalkan Ketua Menteri Sarawak


KUCHING - Warga pendidik khususnya guru digesa menyokong dasar digital seperti yang telah diperkenalkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg.

Ini disuarakan Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika mewakili Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini.

“Dengan adanya capaian digital yang baik dan efisien sudah pasti akan berupaya membantu meningkatkan prestasi pendidikan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan dan Apresiasi Ahli Bersara serta Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Gawai. 
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus, Pengerusi Koperasi KOBAGUS Bhd Mohd Mortadza Matrang dan Pengerusi Koperasi KOPERKASA Bhd Sajali Ojek. 
Menurut beliau, Ketua Menteri Sarawak tidak mahu anak-anak Sarawak termasuk di kawasan pedalaman berasa ketinggalan dari segi perkembangan digital. 
Tegas Hasidah, penekanan kepada kepentingan digital selalu diperkatakan, namun kerajaan juga tidak akan mengabaikan usaha meningkat serta menambah baik prasarana di sekolah-sekolah yang daif fizikalnya. 
Antara masalah yang sering dialami sekolah-sekolah ini termasuk kedaifan fizikal, masalah elektrik dan masalah air bersih. 
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak juga telah menetapkan kepentingan prasarana tersebut demi memastikan kecemerlangan prestasi anak murid terutama di kawasan pedalaman negeri. 
Hasidah turut meluahkan rasa bangga beliau kerana Kerajaan Sarawak telah berusaha keras menambah baik prasarana-prasarana tersebut. 
Beliau menyeru masyarakat sentiasa menghargai jasa dan sumbangan guru dalam membangunkan modal insan negara khususnya di Sarawak. 
“Oleh sebab itu, secara peribadi saya amat menghargai jasa warga guru kepada diri saya. Tanpa guru, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” tegas beliau. 

Pada masa yang sama, Hasidah turut mengumumkan geran sebanyak RM10,000 untuk membantu KGBS mengadakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang pihaknya sepanjang tahun. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.