Lelaki Maut Selepas Kereta Terjunam Di Dalam Sungai Merah
SIBU - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam Sungai Merah di sini, hari ini.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu melancarkan pencarian susulan menerima maklumat daripada orang awam yang menyaksikan kereta berkenaan terjunam ke dalam sungai, sekitar jam 7.50 pagi.
Kereta tersebut dinaikkan menggunakan kren selepas empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat penyelaman mengesahkan terdapat mayat seorang lelaki di dalam kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, mayat dikenalpasti sebagai Ting Kwong Lim, 25.
Menurutnya, polis menerima laporan dari ibu mangsa apabila lelaki tersebut gagal pulang ke rumah pada 27 Jun lalu.
"Mayat mangsa telah dikeluarkan daripada kereta oleh pasukan dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. -Utusan Borneo Online
No comments