Header Ads

Header ADS

Bayaran 20% Keuntungan Minyak Nafi Hak Pemilikan Sarawak Ke Atas Minyak Di Negeri Ini


KUCHING - Pembayaran 20 peratus keuntungan minyak dan hasil petroleum negara bermakna Sarawak tidak mempunyai hak pemilikan ke atas minyak dan gas di negeri ini. 
Aktivis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Zainnal Ajamain (foto) berkata royalti dan keuntungan merupakan dua perkara berbeza.
"(Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir baru-baru ini mengatakan 20 peratus keuntungan hasil minyak dan hasil petroleum negara dibayar kepada Sarawak. 
"Ia bercanggah daripada persetujuan asal iaitu pembayaran 20 peratus royalti kepada Sarawak. Royalti bermakna minyak dan gas milik Sarawak tetapi keuntungan tidak. 
"Beliau, (Dr Mahathir) tidak mahu mengatakan royalti jadi beliau menggunakan perkataan 'keuntungan' yang pada dasarnya bayaran tunai," katanya ketika menyampaikan forum bertajuk The Endgame di Pusat Ekumenikal Kristian di Jalan Stampin, semalam.
Forum anjuran bekas pelajar Sekolah St Thomas 67/69 itu dihadiri kira-kira 200 individu dengan pelbagai latar belakang sosial serta peringkat umur. 
Zainnal yang juga Pengarah Institut Kajian Pembangunan (IDS) berkata, ia adalah antara penipuan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan selama ini. 
"Mereka menipu rakyat Sarawak, mengatakan ia (minyak dan gas) bukan milik Sarawak dengan membayar 20 peratus keuntungan. Ini tidak betul," tegasnya. 
Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan Ahli Parlimen dari Sarawak kerana tidak bangkit meminta penjelasan lanjut daripada Dr Mahathir ketika membentangkan perkara itu di Parlimen, Jumaat lepas. 
"Apabila isu-isu remeh dibangkitkan, ramai Ahli Parlimen Sarawak juga Sabah akan bangkit mencelah atau berhujah tetapi apabila menyentuh hal serius (royalti minyak) semua berdiam diri. 
"Sebab itulah saya sangat kecewa. Tidak ada satupun Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah bangkit meminta penjelasan. Dengan jujur saya kata saya katakan Ahli Parlimen tahu akan hak-hak Sarawak," ujarnya. 
Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan memanipulasi hak-hak Sarawak menerusi Parlimen sejak lama antaranya mengubah keluasan asal pelantar benua dari 350 batu nautika yang ditetapkan oleh Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut. 
Malah ujarnya, Lampiran C Perjanjian Malaysia, Perlembagaan Sarawak menyentuh hak pemilikan tanah, iaitu semua tanah negeri diberi hak pemilikan kepada negeri iaitu Sarawak. 
"Maknanya, pelantar benua di Sarawak adalah milik Sarawak, bukan Malaya, bukan Malaysia...Siapa yang telah memberi hak kepada Petronas dengan begitu mudah mengambil minyak dan gas di kawasan Sarawak. Itu tidak betul. 
"Jadi ia (pelantar benua) itu adalah milik Sarawak, bagaimana boleh Petronas masuk dan mengatakan ia mempunyai hak pemilikan ke atas tanah negeri ini, langsung tidak masuk akal bukan?," soalnya. 
Tambahnya, "Ini jelas menunjukkan Petronas tidak menghormati perlembagaan Sarawak yang diberikan oleh 'Queen' (Ratu England) bukan Parlimen Malaysia." 

Maknanya, kata beliau sempadan perairan Sarawak tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.