Header Ads

Header ADS

Sarawak Kekal Bersama Malaysia


KUCHING - Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari hari ini mengulangi pendirian bahawa tiada keperluan untuk Sarawak keluar dari Malaysia.

Abang Johari berkata, bagaimanapun ia tidak bermaksud Sarawak tidak dapat menuntut hak-hak perundangan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Malaysia.

"Saya percaya dengan politik kita yang berdiri sendiri menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita mempunyai platform yang lebih baik dan kuat untuk menyuarakan pendapat kita secara bebas demi kepentingan Sarawak.

"Putrajaya bukan London. Masa depan Sarawak akan ditentukan oleh Putrajaya," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak Tahun 2018 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah berakhir dengan menyaksikan kerajaan baharu, Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad katanya, mengadakan lawatan pertama di Kuching, dan Sarawak berbangga menerima kunjungan beliau dan telah memberi taklimat mengenai pembangunan negeri ini.

"Lawatan beliau adalah testimoni bahawa Kerajaan Negeri mampu membina hubungan kerjasama yang kuat dengan Kerajaan Persekutuan meskipun kita tidak sama platform politik.

"Sarawak memerlukan perhatian berterusan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan berterusan demi kepentingan rakyat Sarawak " ujarnya di hadapan ribuan rakyat yang hadir meraikan sambutan tersebut.

Sambutan tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib serta barisan menteri Kabinet negeri dan persekutuan. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.