Solidariti Anak Sarawak (SAS) Beri Sokongan Penuh Kepada Kerajaan Negeri Sarawak Perjuangkan Pemilikan Minyak Dan Gas Sarawak
KUCHING - Kira-kira 300 penyokong Solidariti Anak Sarawak (SAS) berhimpun di Tebingan Kuching bermula jam 9 pagi semalam, untuk memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam perjuangan untuk mengekalkan pemilikan minyak dan gas.
Dipimpin oleh pengasas SAS Peter John Jaban, mereka membawakan slogan seperti 'Minyak Sarawak adalah untuk Sarawak', 'Petronas, keluar dari Sarawak' dan 'Cukup. Empat puluh lebih tahun merampas hak kami'.
Perhimpunan aman itu turut dikawal oleh polis, bagi mengelak berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Bercakap kepada media, Peter John menasihati semua rakyat Sarawak untuk membuat laporan polis meminta pihak berkuasa untuk menyiasat kesahihan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.
"Masanya sudah tiba untuk menterbalikkan aliran iaitu kerajaan negeri memberi kepada kerajaan persekutuan lima peratus daripada hasil pendapatan minyak dan menyimpan 95 peratys lagi untuk rakyat Sarawak.
"Ini adalah waktu bersejarah yang akan menentukan kedudukan Sarawak dalam Malaysia pada masa depan," katanya.
Ia baru sahaja sebulan selepas Pakatan Harapan (PH) mencatatkan kemenangan yang mengejutkan dalam pilihan raya, yang berkempen atas janji untuk memberi 20 peratus daripada hasil pendapatan minyak kepada wilayah-wilayah Borneo serta keadaan yang lebih adil bagi semua rakyat Malaysia.
Namun pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.
Justeru, Peter John menyifatkan tidak kira apa pun perkara sebenar, tidak ada anak Sarawak yang akan percaya bahawa masa bagi tindakan undang-undang ini adalah kebetulan.
"Perdana menteri baharu boleh dakwa beliau tidak terlibat langsung dalam perkara ini, dan memilih untuk membiarkan mahkamah membuat keputusan. "Namun sebarang keputusan untuk melucutkan hak-hak wilayah-wilayah Borneo pasti melibatkan kerajaannya yang baharu," katanya.
Beliau menambah sekarang adalah waktunya Sarawak dan Sabah akan tahu sama ada mereka boleh menjangkakan sebarang keadilan sosial ataupun tidak dalam Malaysia dan kerajaan baharu PH akan menjadi teraju apabila waktu itu tiba nanti.
"Jangan silap - ini bukan mengenai masa silam, ini adalah mengenai masa depan," tegas beliau. -Utusan Borneo Online
No comments