Header Ads

Header ADS

Pemuda PBB, SUPP, PRS Dan PDP Anggap Keputusan Keluar BN Dan Tubuh GPS Adalah Wajar


KUCHING - Bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menganggap keputusan Majlis Tertinggi berhubung dengan keluar daripada BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu keputusan wajar.

Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abdul Rahman berkata pergerakan itu menyokong sepenuhnya keputusan tersebut yang akan memberi fokus kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam menjaga kepentingan Sarawak.

“Pemuda PBB berpandangan bahawa langkah berkenaan selari dengan perjuangan untuk memastikan hak Sarawak terpelihara demi pembangunan, kepentingan rakyat serta negeri khususnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB, semalam.

Tambah Fazzrudin, Pemuda PBB juga akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden PBB Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg dalam memimpin Sarawak dan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat dan negeri.

“Kami akan terus menyokong penuh segala usaha ketua menteri dalam melaksanakan dasar untuk meningkatkan taraf kemudahan luar bandar, termasuk usaha beliau mempertahankan hak Sarawak berhubung isu penerokaan minyak oleh Petronas,” tegasnya.

Justeru, katanya Pemuda PBB juga berharap agar seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira ideologi politik berdiri teguh bersama pucuk kepimpinan negeri dalam mempertahankan hak Sarawak.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.