Penubuhan GPS Bertujuan Bekerjasama Dengan Kerajaan Persekutuan Demi Kepentingan Rakyat Sarawak
KUCHING - Pembentukan Gabungan Parti Sarawak atau GPS adalah untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat Sarawak dan bukannya menyertai Pakatan Harapan (PH).
Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, memandangkan Sarawak masih lagi dalam Persekutuan Malaysia ia bermakna kerajaan persekutuan perlu melihat keperluan rakyat di Sarawak.
“Kunci utamanya di sini adalah perkataan kerjasama itu, ia adalah pendirian kita dan tidak bermakna kita menyertai PH tetapi kita hanya bekerjasama dengan mereka untuk kepentingan terbaik kepada rakyat kita.
“Kita menyedari bahawa ia satu keputusan yang sangat penting terutama demi rakyat kita. Ia satu keputusan yang besar memandangkan senario politik kini dan kehendak ahli-ahli parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) Sarawak yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.
Abang Johari yang juga presiden PBB mengumumkan bahawa empat parti komponen iaitu PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) keluar daripada BN.
Fatimah berkata, langkah meninggalkan BN itu satu keputusan yang sangat berat untuk diambil kerana setelah sekian lama bersama BN, yang ibarat ‘suami isteri’ yang sudah lama berkahwin tiba-tiba terpaksa berpisah.
Sehubungan itu kata beliau, ketua menteri dalam mesyuarat yang diadakan turut berterima kasih kepada BN atas sumbangan terhadap negeri Sarawak dan rakyat Sarawak selama ini.
“Disebabkan keadaan sekarang, senario berubah yang menuntut kita memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dan ia satu keputusan pragmatik, kita terpaksa meninggalkan BN serta menubuhkan gabungan iaitu GPS,” katanya.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak itu berkata, disebabkan persidangan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi, maka mesyuarat juga memutuskan agar tindakan segera diambil setiausaha agung untuk memaklumkan kepada pihak tertentu selain BN.
Ia kemudian kata beliau, memohon pendaftaran kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta memaklumkan juga kepada speaker DUN yang harus dilakukan segera.
Fatimah turut memberitahu, antara lain mesyuarat turut menekankan tentang kepelbagaian Sarawak daripada aspek bangsa, agama selain geografi yang perlu diiktiraf dengan pada masa yang sama memperjuangkan hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). -Utusan Borneo Online
No comments