Header Ads

Header ADS

Rakyat Sarawak Digesa Kekalkan Kehidupan Berharmoni - Tun Pehin Sri Taib


KUCHING - Rakyat di negeri ini digesa untuk mengekalkan kehidupan berharmoni dengan meneruskan cara hidup berinteraksi dalam aman dan harmoni.

Ini disuarakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam perutusan khasnya bersempena Hari Raya Aidilfitri 2018.

Katanya, rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama boleh berasa bangga dan bermaruah kerana dapat hidup bersama dan saling menghormati antara satu sama lain dan semua orang boleh mengamalkan agamanya sendiri tanpa sebarang sekatan dan kritikan dari mana-mana pihak.

"Ini adalah semangat yang kita mahu terus serapkan ke dalam masyarakat kita, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, tanpa salah faham dan pertengkaran di antara satu sama lain.

"Sebenarnya Sarawak yang aman dan harmoni, akan menjadi lebih progresif dan mempunyai masa depan yang cerah," katanya dalam ucapan di Perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, bersempena Hari Raya Aidilfitri ini, beliau berharap agar tradisi kunjung-mengunjungi antara satu sama lain dapat diteruskan kerana ia telah menjadi trend yang baik untuk rakyat Sarawak, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Atas sebab ini, kita merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai perayaan yang memberikan kegembiraan dan kebahagiaan bukan hanya kepada umat Islam tetapi kepada semua kaum di Sarawak.

"Bagi saya, inilah mesej yang saya ingin berikan kepada rakyat Sarawak tanpa mengira asal-usul kaum atau kepercayaan agama mereka," katanya lagi.

Sementara itu, Taib berkata, umat Islam amnya mesti mengambil kesempatan penuh dari bulan suci Ramadan ini untuk terus melakukan perkara-perkara yang baik dan terus mengamalkan ajaran agama terutama dalam membimbing golongan muda dan rakyat dari kaum dan agama lain kerana amalan baik mesti dikongsi bersama dalam usaha menaik taraf diri, budaya serta tradisi di Sarawak.

"Kita mesti mengelakkan melakukan sesuatu yang buruk, kita mesti menghalang diri kita daripada terlibat dalam amalan buruk seperti menyebarkan kepalsuan terhadap individu, elakkan melakukan sesuatu, yang boleh membawa pertengkaran dan pemusnahan kepada negeri," ujarnya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.