Header Ads

Header ADS

Penubuhan GPS Berlandaskan Kehendak Dan Aspirasi Rakyat - Abang Zohari


KUCHING - Penubuhan gabungan baharu yang dikenali Gabungan Parti Rakyat Sarawak (GPS) baru-baru ini adalah berlandaskan kepada kehendak dan aspirasi rakyat.
Susulan dengan itu, Kerajaan Negeri Sarawak akan menyesuaikan pentadbirannya dengan rakyat berbanding dengan kehendak sebelum ini.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, di samping mempertingkatkan ketelusan tadbir urus negeri ini dalam gagasan kerjasama antara parti yang lebih mantap. 
"Pilihan Raya Umum (PRU) sudahpun selesai dan rakyat telahpun membuat keputusan untuk memberi mandat kepada Kerajaan baharu untuk mentadbir negara. 
"Ekoran perubahan kepada landskap politik negara, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak telah membuat keputusan untuk keluar daripada gagasan Barisan Nasional dan bergabung dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 di sini, hari ini. 
Abang Zohari berkata, selaku Pengerusi GPS, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada BN di atas jalinan persefahaman dan kerjasama yang terbentuk untuk sekian lama. 
Katanya, langkah untuk mewujudkan platform politik yang baharu di Sarawak adalah selaras dengan aspirasi dan kehendak rakyat negeri ini yang berbilang latar belakang agama dan bangsa. 
"Saya mengajak seluruh anak Sarawak, tidak kira bangsa atau keturunan untuk sama-sama berusaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini. 
"Perbezaan pendapat, pegangan politik, agama dan budaya tidak seharusnya menjadi benteng pemisah antara kita untuk membina Sarawak yang lebih maju, aman dan makmur," tegasnya. 
Sementara itu, seperti yang telah menjadi amalan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini, agar merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan antara sesama umat Islam dan rakan-rakan daripada keturunan dan agama lain. 
Katanya, amalan kunjung mengunjung perlu diteruskan supaya Hari Raya menjadi lebih bermakna kepada kita semua. 
"Saya dan isteri akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo atau BCCK di Kuching pada hari pertama dan hari kedua Aidiliftri daripada pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang. 
"Bagi saudara dan saudari yang berkesempatan datanglah beramai-ramai ke BCCK pada hari-hari berkenaan," katanya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.