GPS Berpaksikan Rakyat (People-Centric) Sarawak
KUCHING - Langkah empat parti komponen negeri ini meninggalkan Barisan Nasional (BN) serta menubuhkan gabungan baharu iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunjukkan keseriusan untuk menumpukan keperluan berpaksikan rakyat (people-centric) Sarawak.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, parti gabungan itu adalah lebih berpaksikan keperluan Sarawak seperti apa yang terbaik untuk Sarawak selain keutamaan diberikan kepada negeri ini.
“Hari ini perkara utama kita lakukan adalah meninggakan BN dan keduanya pembentukan GPS yang mana butiran lanjut akan kita muktamadkan nanti.
“Ia termasuk struktrur, logo, lagu serta yang paling penting adalah polisi GPS yang lebih kepada berpaksikan rakyat dan keperluan Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) Sarawak yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.
Abang Johari yang juga presiden PBB mengumumkan bahawa empat parti komponen iaitu PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) keluar daripada BN.
Tambah Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, bagi SUPP langkah seterusnya adalah untuk menjelaskan tentang GPS kepada ahli-ahlinya di seluruh negeri.
“SUPP bukan milik saya sahaja, ia kepunyaan ahli parti dan ia berbalik kepada persidangan delegasi kita untuk memberitahu ahli apa butiran lanjut yang perlu diambil kira,” tegasnya.
Mengulas mengenai parti serpihan SUPP iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) jika dibawa masuk bersama GPS, beliau berkata struktur asas GPS adalah dianggotai empat parti komponen.
Beliau berkata, UPP dan SUPP masih mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani sebelum ini, namun tidak menolak jika mana-mana parti lain yang ingin bersama dalam GPS demi kepentingan Sarawak.
Katanya apa yang penting kini adalah Sarawak perlu lebih bersatu untuk mendapatkan hak-hak Sarawak yang terhakis sama ada sengaja atau tidak sengaja di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sarawak perlu lebih bersatu daripada sebelumnya dan kami sentiasa mengalu-alukan bukan sahaja UPP tetapi mana-mana rakyat Sarawak untuk bersama asalkan mempunyai kepentingan dan tujuan yang sama, mereka boleh menyertai GPS.
“Empat parti komponen dalam ini adalah sebagai permulaan dan saya percaya yang penting sekarang bagi GPS adalah merumuskan dasarnya yang lebih kepada berasaskan rakyat Sarawak dan mengutamakan Sarawak,” katanya.
Sementara itu beliau turut mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) Sarawak kini berhubung kepentingan negeri, adakah mereka masih merujuk kepada ketua parti mereka di Semenanjung Malaysia.
“Bagaimana pula jika ketua parti mereka di sana mengatakan tidak (mengenai kepentingan Sarawak), adakah mereka akan melanggarnya? adakah mereka menyertai kita atau tidak?” soal Dr Sim. -Utusan Borneo Online
|
No comments