Pemuda PBB Gesa Kerajaan Negeri Sarawak Tuntut Semua Hak Negeri Sarawak Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963
KUCHING - Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengesyorkan kepada Kerajaan Sarawak supaya menuntut segera semua hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan, kepimpinan Sarawak amnya harus memastikan semua hak Sarawak itu dikembalikan dengan segera tanpa sebarang syarat sebagaimana ia dirampas dahulu.
“Pergerakan Pemuda PBB mengecam sekeras-kerasnya tindakan Petronas yang cuba merampas hak milik petroleum Sarawak.
“Kami mencabar Chong Chieng Jen (Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak) untuk menyatakan pendirian mereka berhubung isu Petronas kerana hingga sekarang Chong menikus dan masih berdiam diri dalam isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.
Sementara itu berhubung isu air di beberapa kawasan di Sarawak, Fazzrudin berkata Pergerakan Pemuda PBB amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam menyelesaikan sendiri permasalahan yang dihadapi rakyat terutama di kawasan luar bandar seperti di Saratok, Kabong, Dalat, Asajaya, Sadong Jaya dan Simunjan.
“Pemuda PBB memuji tindakan ketua menteri yang menggunakan peruntukan negeri bagi menyelesaikan segera isu berkenaan,” katanya.
Justeru, beliau berkata Pemuda PBB percaya banyak lagi inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan luar bandar menjadi fokus utama pembangunan di Sarawak.
Pada masa sama, katanya Pemuda PBB menuntut agar agensi-agensi yang terlibat mengambil langkah lebih aktif dan proaktif dalam memastikan usaha dan dasar kerajaan tercapai mengikut perancangan.
“Pemuda PBB akan menjadi pemantau untuk memastikan agensi bertanggungjawab akan melaksanakan projek rakyat yang telah diluluskan oleh ketua menteri secara berkesan.
“Kami akan memainkan peranan aktif dalam menyokong dasar beliau yang mengutamakan dan menguntungkan rakyat,” katanya.
No comments