Header Ads

Header ADS

Ambil Iktibar Kesilapan Dan Kelemahan Ketika Berada Dalam BN


KUCHING - Ambil iktibar dan pengajaran daripada kesilapan dan kelemahan ketika berada dalam Barisan Nasional (BN) mungkin menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus relevan dalam politik Sarawak.

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata langkah diambil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) membentuk gabungan baharu bukan tindakan yang mengejutkan.

“BN Sarawak tidak boleh lagi bersama dengan BN Pusat yang dibelenggu skandal dan masalah sehingga kalah pada PRU14.

“Mereka perlu mencari platform baharu bagi berhadapan cabaran baharu dan perubahan aspirasi rakyat pelbagai kaum di Sarawak,” katanya kepada Utusan Borneo.

Menurutnya, beliau percaya pada akhirnya tindakan itu bertujuan demi kelangsungan politik khususnya menghadapi Pilihan Raya Negeri seterusnya. Selepas PRU14, Sarawak merupakan negeri pembangkang apabila Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan menggantikan BN.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016, BN menang 72 daripada 82 kerusi.

Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mengadakan PRN berasingan dengan Pilihan Raya Umum.


Pada PRU14, Sarawak yang selama ini diberi jolokan negeri deposit tetap BN, terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 19 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen.

Jeniri berkata lagi, GPS sewajarnya tidak boleh memperlihatkan mereka sekadar bertukar luaran.

“Apa yang lebih penting ialah dari segi falsafah perjuangan, rohnya dan bagaimana ia bertindak sesuai dengan aspirasi kaum-kaum di Sarawak.

“Dan harus mengambil iktibar daripada kesilapan dan kelemahan ketika bersama BN dahulu,” ujarnya.

GPS katanya perlu melakukan transformasi secara menyeluruh, bukan sekadar menukar nama, logo dan slogan tetapi strategi mendekati rakyat dan menyelesaikan masalah perlu diubah.

Apatah lagi apabila majoriti rakyat kini sudah tahu hak mereka ekoran peningkatan jumlah golongan yang celik politik.

GPS juga diharapkan dapat membawa pembangunan lebih besar dan memenuhi aspirasi daripada aspek Perjanjian Malaysia 1963.


Meskipun mesra Pakatan Harapan, GPS diharapkan menjadi pembangkang yang berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ jika berlaku perkara yang tidak betul dilaksanakan kerajaan persekutuan.

“Pada akhirnya yang penting ialah mereka dapat memberi suara yang rasional di Dewan Rakyat demi kepentingan rakyat Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, ahli akademik universiti di Tasmania, Australia Profesor James Chin cuba melihat adakah dengan penubuhan GPS membolehkan parti mesra BN seperti Parti Rakyat Bersatu (UPP) menyertainya.

UPP merupakan parti dipengerusikan Dato Sri Wong Soon Koh yang merupakan menteri dalam kabinet negeri.

Ia merupakan parti ditubuh selepas para pemimpinnya keluar daripada SUPP.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ditanya mengenai perkara itu berkata ia akan dibincangkan kemudian.

James mengulas lagi, bergerak atas landasan memperjuangkan MA63 juga mungkin menimbulkan masalah kepada GPS meskipun ia popular dalam kalangan warga Sarawak.

“PH Sarawak juga mendakwa mereka memperjuangkan MA63. Apa akan berlaku apabila Putrajaya berkata ‘anda hanya dapat kuasa MA63 jika PH menang Pilihan Raya Negeri’,” katanya.

Tidak kurang menarik untuk diperhatikan ialah adakah akan wujud bentuk federalisme baharu apabila dua negeri - Sarawak dan Sabah - bukan ditadbir oleh PH. Sabah Warisan manakala Sarawak GPS. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.