Header Ads

Header ADS

Perbezaan Agama Bukan ‘Dinding Penghalang’ Kepada Perpaduan Di Sarawak


KUCHING, 25 Disember - Rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini harus mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang terjalin sejak 100 tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perbezaan agama dan kepercayaan tidak mewujudkan ‘dinding penghalang’ untuk rakyat negeri ini kekal bersatu demi Sarawak yang lebih gemilang.
“Kita dapat kekal bersama dan bersatu, agama tidak menjadi ‘dinding penghalang’ kepada kita kerana kita percaya, ‘agama kamu adalah agama kamu dan agama saya adalah agama saya’.
“Inilah cara kita di Sarawak sejak seratus tahun lalu dan cara itu seharusnya kekal pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Krismas 2018 dan Tahun Baharu 2019 semalam.
Abang Johari berkata komitmen Kerajaan Sarawak memupuk perpaduan dan pemahaman agama tidak hanya dalam kata-kata tetapi perbuatan.
Kerajaan Sarawak katanya, telah mewujudkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membantu rakyat Sarawak yang bukan Islam membina serta membaik pulih rumah-rumah ibadat mereka.
“Tahun ini, RM20 juta telah diperuntukkan kepada UNIFOR dan saya percaya ramai mendapat manfaat daripada inisiatif ini, suatu yang tidak terdapat di negeri lain.
“Tahun depan (2019) peruntukan diluluskan ialah RM30 juta dan saya memberi jaminan kerajaan negeri akan terus menyediakan dana (ini), dengan itu lebih ramai boleh mendapat manfaat daripadanya pada masa akan datang,” katanya.
Justeru beliau berharap sempena sambutan Hari Krismas perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sarawak diperkukuhkan lagi.
“Keindahan kita (rakyat) Sarawak ialah penganut pelbagai agama berkongsi kegembiraan dan perayaan kerana ini sudah menjadi amalan kita sejak sekian lama.
“Rakyat Sarawak seperti adik beradik, yang saling menghormati budaya dan agama satu sama lain,” katanya.
Menurutnya di bebarapa tempat di Sarawak, keluarga Kristian dan Islam tinggal bersama di bawah satu bumbung tanpa banyak isu atau masalah.
Terdapat juga rumah ibadat Kristian bersebelahan dengan masjid, berkongsi tempat letak kereta pada Jumaat dan Ahad menggambarkan persaudaraan serta persahabatan dalam kalangan rakyat Sarawak, tambahnya.
“Saya berharap dalam semangat Krismas, rakan-rakan kita yang beragama Kristian akan terus berdoa agar rakyat Sarawak akan mempunyai kekuatan serta keberanian menentukan takdir, tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.
“Menjadi sebahagian daripada Malaysia, tidak bermakna kita tidak boleh mencarta masa depan kita sendiri mengikut harapan serta aspirasi semua rakyat Sarawak,” ujarnya. -Utusan Borneo Online

  • No comments

    Theme images by wibs24. Powered by Blogger.