Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Akan Bantu Keluarga Allahyarham Yahya


KUCHING - Kerajaan Sarawak akan menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham Yahya Ali, 24 yang terkorban bersama lima lagi anggota bomba semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor malam kelmarin.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah semalam.

Bagaimanapun katanya, bentuk bantuan yang akan diberikan belum dapat dipastikan ketika ini memandangkan perkara itu perlu dimaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kerajaan Sarawak akan memberi bantuan kepada keluarga Allahyarham, cuma buat masa ini masih belum tahu bentuk bantuan yang akan dihulurkan.

“Saya akan bangkitkan dalam mesyuarat kabinet pada 18 Oktober ini. Saya juga akan memaklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) yang ketika ini masih berada di luar negara atas tugas rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sidang media mengenai penganjuran Konvensyen Pendidikan Awal Kanak-Kanak Ke-12 di sini semalam.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, kematian Yahya merupakan kehilangan besar kepada Sarawak khasnya dan negara amnya.

“Ini adalah tragedi yang amat menyedihkan bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi seluruh rakyat Sarawak lebih-lebih lagi ia berlaku ketika menjalankan tugas mencari dan menyelamat. Takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Bagi pihak Kerajaan Sarawak, kita menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap musibah yang dialami mangsa dan sudah tentu menimbulkan kesedihan serta kehilangan kepada keluarga serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.